
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
KUALA NERANG, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Semangat kemerdekaan, kecintaan kepada negara, serta penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW dizahirkan melalui program sambutan Kemerdekaan dan Maulidur Rasul anjuran Komuniti MADANI KEDA Pasir Putih, yang berlangsung meriah, di sini semalam.

Penduduk bertungkus lumus memasak sarapan pagi secara rewang.
Sambutan dengan perarakan Maulidur Rasul disertai penduduk pelbagai peringkat umur sambil mengalunkan selawat sebagai tanda cinta kepada Rasulullah SAW.
Turut mencuri perhatian ialah pertandingan pakaian beragam bertemakan kemerdekaan khas untuk kanak-kanak, menampilkan kreativiti dan gelagat mencuit hati, selain pertandingan sukaneka yang mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan dalam suasana penuh keriangan.
Menariknya, program kali ini turut diserikan dengan Jualan Rahmah yang memberi peluang kepada masyarakat membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan, sekali gus meringankan beban kos sara hidup turut mendapat sambutan hangat penduduk.

Kaum wanita mengambil bahagian dalam acara sukan sukaneka mencari kasut.
Pegawai Penerangan Daerah Padang Terap Mohd Fiteri Abd Manap, turut hadir menyampaikan taklimat berkaitan cara mengenal pasti berita palsu serta langkah menghidupkan semangat kemerdekaan dalam diri masyarakat.
Menurutnya, rakyat perlu bijak menapis maklumat yang diterima agar tidak terpengaruh dengan berita yang tidak sahih, selain menghayati erti kemerdekaan dalam kehidupan seharian.
Penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah sesama penduduk, malah berjaya menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam suasana harmoni.
-RI





