Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Hari Cuci Malaysia Jayakan Visi ‘Chase City’

By 28 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Perbadanan Labuan

LABUAN, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Program Hari Cuci Malaysia dan Gotong-Royong Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan mampu memperkukuh penyertaan masyarakat dalam menjayakan visi Wilayah Persekutuan melalui Pelan Hala Tuju ‘Chase City’.

Mohd Sukuran semasa menyampaikan ucapan sekali gus melancarkan Program Hari Cuci Malaysia dan Gotong-Royong Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Perbadanan Labuan (PL) dalam satu kenyataan berkata program itu bukan sahaja memupuk kesedaran sivik terhadap kebersihan, malah mampu menjayakan visi ‘Chase City’ khususnya komponen ‘Clean City’ (Bandar Bersih).

“Pelaksanaan Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) yang diperkenalkan awal tahun ini turut diterapkan dalam program hari ini, bagi memastikan kebersihan dijadikan sebagai budaya berterusan dan bukan hanya sekadar kempen bermusim,” menurut kenyataan itu, semalam.

Hari Cuci Malaysia merupakan program tahunan yang disambut pada hari Sabtu minggu terakhir bulan September dan diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sambutan tahun ini yang jatuh pada 27 September diadakan serentak di seluruh negara bersempena World Cleanup Day termasuk di Labuan di mana aktiviti gotong-royong turut dijalankan secara menyeluruh di seluruh kampung dengan fokus kepada pembersihan kawasan awam, jalan-jalan utama, longkang, parit, dan kawasan tumpuan komuniti.

Komuniti setempat giat membersihkan kawasan kampung.

“Selain itu, program itu juga merupakan sebahagian daripada usaha PL dalam mempertingkatkan imej bandar menjelang penganjuran Borneo Arts Festival 2025 yang akan berlangsung pada 13 hingga 17 November yang dijangka menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara, susulan kejayaan Borneo Flora Festival 2025 yang sebelum ini mencatatkan kehadiran lebih 120,000 pengunjung,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran yang diadakan di Kampung Lajau pagi semalam disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PL Mohd Sukuran Taib dengan kehadiran Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) PL Ibrahim Tambi, Ketua Kampung Lajau Mohamad Jakop, pegawai-pegawai kanan PL, rakan-rakan media, sukarelawan serta masyarakat setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda