
Laporan/foto: Nurul Ain/Shamsul Bahari
BUTTERWORTH, 17 Sep (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemerdekaan hakiki bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi menolak segala bentuk penguasaan asing yang menekan rakyat dari segi politik, ekonomi, budaya, pendidikan dan sosial.

Anwar menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik dan memperingati sejarah pembentukan Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.
“Kemerdekaan bukan bererti mengganti pemimpin asing dengan anak-anak tempatan. Sebaliknya, kemerdekaan itu menjamin sistem ekonomi dan budaya yang adil serta perpaduan di kalangan kita,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Butterworth Arena, di sini malam tadi.
Anwar turut mengingatkan bahawa semangat perpaduan dan pengorbanan pejuang terdahulu yang membentuk Malaysia perlu terus dijadikan asas dalam menghadapi cabaran geopolitik dunia hari ini.
Beliau menekankan keperluan menolak fahaman ekstrem kaum dan agama, selain memastikan pembangunan ekonomi negara lebih inklusif serta mampan.

Upacara memotong kek Hari Malaysia 2025 merupakan satu tradisi manis dalam meraikan ulang tahun tetapi juga melambangkan kemanisan persahabatan, kemakmuran dan keharmonian yang dikongsi bersama.
“Pengajarannya, negara merdeka dan berdaulat mesti bersatu meleburkan kebencian dan prasangka antara kaum dan agama. Sikap pelampau mesti dibanteras demi kelangsungan negara,” tegasnya.
Menurut Anwar, Malaysia mesti bergerak maju dalam bidang teknologi dan ekonomi digital tanpa meninggalkan nilai budaya tinggi serta budi pekerti.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam serta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.





