
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Ling Tian Soon
JOHOR BAHRU, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Hujan lebat berterusan lebih empat jam sejak pukul 2.00 petang semalam mengakibatkan banjir kilat di Bangunan Lili, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, apabila limpahan air deras memasuki kawasan hospital yang terletak di kedudukan lebih rendah.

Ling Tian Soon (topi hitam) berkata faktor utama banjir kilat adalah kerana aras bangunan terbabit jauh lebih rendah selain kedudukannya di kawasan cerun.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon, berkata berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Bahru, jumlah hujan yang direkodkan melebihi 70 milimeter sehingga menyebabkan air mengalir deras dari jalan raya ke kawasan hospital seolah-olah ‘air terjun mini’.
“Selepas jam 6.30 petang, air mulai surut. Saya bersama Pengarah JPS Negeri Johor dan Jurutera Daerah JPS Johor Bahru turun ke lokasi untuk melakukan tinjauan sebaik menerima laporan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini semalam.
Menurut Ling, hasil pemerhatian di lapangan serta analisis melalui rakaman video mendapati faktor utama banjir kilat adalah kerana aras bangunan terbabit jauh lebih rendah selain kedudukannya di kawasan cerun.
Beliau berkata, sebagai langkah segera, JPS akan mencadangkan pembinaan satu longkang kecil di bahu jalan bagi mengalirkan air terus ke sistem perparitan.
“Pihak JPS juga akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan hospital esok bagi tindakan lanjut,” jelasnya.
-RI





