
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Zahari Sarip
MERSING, 19 Sep (MalaysiaAktif) – Kompleks Jemaluang Dairy Valley (JDV) di Mersing dijangka menjadi pemacu utama industri tenusu Johor apabila mula beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2025, sekali gus menyasarkan peningkatan hasil susu segar sehingga 15 juta liter setahun menjelang 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip, berkata projek strategik berkenaan merupakan inisiatif bersama kerajaan negeri Johor dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Zahari ketika melawat Kompleks Jemaluang Dairy Valley (JDV) serta menerima taklimat perkembangan projek.
“JDV akan diuruskan oleh Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDVSB), sebuah syarikat usaha sama antara Kulim (Malaysia) Berhad dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja serta menerima taklimat perkembangan semasa projek itu, di sini kelmarin.
Menurut Zahari, sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu akan dibawa masuk secara berperingkat dari Australia bermula Oktober ini bagi mengisi fasa awal operasi sebelum jumlahnya ditingkatkan pada masa akan datang.
Beliau berkata ketika ini Johor menghasilkan kira-kira 6.4 juta liter susu segar setahun dan dengan pengoperasian JDV, jumlah itu akan meningkat kepada sembilan juta liter, seterusnya melonjakkan pengeluaran keseluruhan negeri kepada 13 hingga 15 juta liter setahun menjelang 2027.
“Kompleks JDV dilengkapi infrastruktur dan mekanisasi moden termasuk kandang berteknologi, rotary milking parlour serta sistem pengurusan sisa mesra alam. Kemudahan ini bukan sahaja mempertingkatkan pengeluaran susu negeri, malah JDV juga akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan susu segar daripada penternak sedia ada di kawasan sekitar,” katanya.

Sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu dari Australia akan dibawa masuk secara berperingkat mulai Oktober ini bagi fasa awal operasi.
Selain membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat, JDV turut memperkenalkan Program Penternak Satelit bagi memberi ruang kerjasama dengan penternak Johor dalam usaha memperkasa industri tenusu negeri.
Pada masa sama, Zahari berkata JDV akan berperanan sebagai pusat agropelancongan berasaskan tenusu yang dijangka merancakkan lagi limpahan ekonomi, khususnya di daerah Mersing.
“Menjelang akhir 2025, JDV akan beroperasi sepenuhnya dan menjadi pemacu utama industri tenusu negara,” katanya.
-RI





