Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sarawak 2025 Dapat Sambutan Hangat

By 7 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Norhafizah Yusof (Sarawak)

KUCHING, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Tebingan Kuching sekali lagi menjadi tumpuan apabila Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sarawak berlangsung dengan penuh meriah selama tiga hari, bermula 5 September dan berakhir hari ini.

Program ini merupakan sebahagian daripada Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sarawak anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertujuan memperkukuh sokongan terhadap produk tempatan serta memperkasakan ekonomi usahawan kecil dan sederhana.

Sekitar suasana Program Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Sarawak.

Lebih 50 usahawan dari seluruh Sarawak menyertai kempen ini, menawarkan pelbagai produk tempatan termasuk makanan dan minuman, fesyen, kraf tangan, produk kecantikan dan kelengkapan rumah.

“Saya memang tunggu program seperti ini kerana produk tempatan kita pun berkualiti tinggi dan harganya pun berpatutan,” kata Vanessa Winifred Fredi, 42, dari Sabah ketika ditemui hari ini membeli Sambal Tuhau, produk lokal Sabah.

Bagi Lim Yau Chia, 20, seorang remaja yang juga ditemui di lokasi berkata kempen ini membuka peluang untuk menyokong jenama tempatan secara langsung.

“Saya beli popcorn jenama tempatan, Sparkles.

“Harapan saya program seperti ini dibuat lebih kerap kerana ia bukan sahaja membantu usahawan tempatan tetapi juga pupuk rasa bangga kepada produk kita sendiri,” ujar Lim.

Vanessa (kiri) dan Lim bersama barangan tempatan yang dibeli.

Selain jualan produk tempatan, pengunjung turut menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang menawarkan barangan keperluan harian dengan potongan harga sehingga 30 peratus, Menu RAHMAH berharga bawah RM5, Pertandingan Gusti Lengan anjuran Sarawak Arm Wrestling Association, cabutan tiket bertuah dan persembahan artis tempatan seperti Melissa Francis, Amir Jahari serta Baby Shima menambahkan lagi kemeriahan suasana malam di Tebingan Kuching.

Terdahulu dalam ucapan perasmian program, Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar menyatakan penghargaan atas sambutan luar biasa rakyat Sarawak terhadap siri ketiga Jelajah Karnival KPDN 2025.

“Karnival ini berjaya menarik lebih 35,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung dan saya juga sifatkan pemilihan Tebingan Kuching sebagai lokasi amat tepat kerana kedudukannya yang strategik dan dekat di hati masyarakat setempat,” kata Mohd Sayuhi.

Sambal Tuhau yang dijual di tapak Karnival Jom Beli Lokal.

Beliau turut menegaskan komitmen KPDN untuk meneruskan siri jelajah ini ke Zon Utara dalam masa terdekat, sebagai langkah memperluas capaian produk tempatan dan memperkukuh ekonomi domestik.

Program Jelajah Karnival KPDN 2025 akan diteruskan ke zon lain termasuk Sabah dan Selangor dengan harapan dapat menyemai semangat cintakan produk tempatan di seluruh negara.

-RJ-

Tinggalkan komen anda