
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Aznan Tamin
MERSING, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Politeknik Mersing menerima geran peralatan berimpak tinggi berjumlah RM239,946 daripada kerajaan negeri Johor melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Aznan berkata penyerahan geran itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata penyerahan geran itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, selaras dengan keperluan industri semasa.
“Melalui inisiatif ini, Politeknik Mersing kini dilengkapi dengan peralatan Siemens PLC Trainer dalam bidang elektrik dan elektronik serta kemudahan komputer berprestasi tinggi dan Cyber Range Cloud untuk bidang keselamatan siber.
“Kemudahan ini akan memberi peluang kepada pelajar mendapatkan pendedahan teknologi terkini yang relevan dengan kehendak industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Bantuan Peralatan kepada Pusat Pendidikan dan Latihan Cybersecurity serta Elektrik dan Elektronik Politeknik Mersing, di sini semalam.

Politeknik Mersing kini dilengkapi peralatan PLC Trainer dan kemudahan Cybersecurity berteknologi tinggi.
Aznan berkata penyaluran geran berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JTDC dalam memperkasa sektor berimpak tinggi seperti keselamatan siber serta elektrik dan elektronik.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada Politeknik Mersing kerana terpilih menerima geran tersebut dan berharap ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar.
“Dengan adanya fasiliti ini, Johor berupaya melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Turut hadir Pengarah Politeknik Mersing Ts. Dr. Robert@Kerk Swee Tian dan Pegawai Tadbir JTDC Mohd Zuhair Zaharudin.
-RI






