
Laporan/ foto : Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 10 Sep (MalaysiaAktif)– Kepelbagaian etnik di Sarawak yang hidup dalam suasana aman dan harmoni merupakan aset penting yang perlu dipertahankan demi kelangsungan perpaduan nasional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata keharmonian pelbagai kaum, agama dan budaya menjadi kekuatan utama Sarawak sejak sebelum merdeka hingga kini.
“Kemerdekaan dan nikmat yang kita rasai pada hari ini adalah bersandarkan perpaduan yang sedia terjalin melalui gerakan ke arah kemerdekaan oleh generasi terdahulu dan diteruskan pula oleh generasi pasca merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Komuniti Lang Ngindang di Rumah Panjang Empading Anak Jampang, Bunu, Skrang, di sini semalam.

Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwiku megah berkibar, simbol perpaduan pelbagai kaum di Rumah Panjang Empading Anak Jampang.
Menurut Johnical, rakyat Sarawak wajar terus memelihara kesepaduan sosial dengan memperkasa semangat patriotisme melalui pengibaran Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwiku bukan sahaja pada bulan kebangsaan tetapi sepanjang masa.
“Kibaran Jalur Gemilang bukan sekadar simbolik jiwa merdeka, tetapi lambang kedaulatan negara yang harus dimartabatkan sepanjang masa dan marilah kita bersama-sama ‘Segulai Sejalai’ mengibarkan bendera ini di setiap penjuru kampung, rumah panjang, sekolah dan bandar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa amalan mengibarkan bendera di pejabat, sekolah, premis perniagaan dan kediaman akan mencerminkan semangat patriotisme dan menyemarakkan kecintaan kepada negara dalam kalangan masyarakat majmuk.

Johnnical (tengah) memotong riben sebagai simbolik perasmian program.
Katanya lagi, penganjuran seumpama itu perlu diteruskan agar rakyat tidak lalai dalam arus digitalisasi, sebaliknya terus mengekalkan jati diri, semangat kenegaraan dan cinta tanah air.
Pada majlis berkenaan, Johnical turut mengumumkan peruntukan RM20,000 melalui Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Empading Anak Jampang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sri Aman, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat kerana berganding bahu menjayakan program itu yang disertai pelbagai lapisan masyarakat sebagai tanda sokongan terhadap usaha memupuk semangat patriotisme dan perpaduan nasional.
-RJ-





