Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Tekad Teruskan Perusahaan Kerepek Warisan Nenek

By 9 September 2025Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)

TEMERLOH, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Seorang gadis tekad untuk meneruskan perusahaan kerepek yang dijalankan neneknya sejak puluhan tahun lalu.

Nurul Anis Asyikin Mohd Zaid, 23, dari Ulu Jempol, Maran, berkata beliau merupakan generasi ketiga yang meneruskan perniagaan ini.

“Pada asalnya ibu saya yang mewarisi perusahaan membuat kerepek ini sejak dia tamat persekolahan, kemudian saya pula yang menyambung perniagaan nenek,” katanya ketika ditemui di Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pahang 2025, Ahad lalu.

Anis turut memberitahu walaupun neneknya masih ada dan menjual rempeyek, dia pula menjual kerepek berlainan.

“Antara yang mendapat permintaan ramai adalah kerepek pagoda udang dan kuih gunting sira dan menjelang musim perayaan permintaan semakin meningkat,” katanya.

Ujarnya lagi, ada juga pelanggan yang membeli secara borong kemudian menjual kerepeknya itu di kedai runcit.

“Saya juga turut memasarkan kerepek saya kepada pembekal yang kemudian menjualya di stesen minyak dan kedai-kedai,” katanya.

Anis yang kini berniaga kerepek di halaman rumahnya sedang dalam proses untuk memohon bantuan daripada agensi kerajaan antaranya Jabatan Pertanian.

-RI

Tinggalkan komen anda