Skip to main content
Berita TempatanSabah

Komuniti Tuaran Lakar MBOR, Tanam 10,000 Pokok Tangkol, Lestarikan Sungai

By 29 September 2025September 30th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Malina Jamarin/Ag. Yasri Ag. Ismail/Fadzlee Ibrah (Tuaran)

TUARAN, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Komuniti Tuaran mencipta rekod Malaysia apabila menanam lebih 10,000 pokok tangkol atau nama saintifiknya Ficus Racemosa di tebing sungai Tuaran dalam usaha untuk melestari dan mengoptimumkan fungsinya sebagai penahan hakisan tanah semulajadi.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, penanaman pokok Tangkol di kawasan berisiko hakisan juga merupakan salah satu usaha untuk memelihara ekosistem sungai.

“Usaha ini juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kelestarian sungai. Hari Sungai merupakan kesinambungan daripada Hari Bumi yang sebelum ini menekankan penanaman pokok liposu. Sungai adalah nadi kehidupan yang mesti kita jaga bersama untuk generasi akan datang.

Wilfred turut menanam pokok tangkol di tebing Sungai Tuaran sebagai simbol usaha bersama memelihara ekosistem sungai dan mencegah hakisan.

“Pada sambutan Hari Sungai ini, kita menanam pokok tangkol sebanyak 10,000 dan berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR),” katanya ketika melancarkan Sambutan Hari Sungai Sedunia, Peringkat Daerah Tuaran di Pusat Rekreasi Kelab Tamparuli Sabah di sini, pada Ahad.

Madius turut merakamkan penghargaan kepada pihak MBOR atas pengiktirafan program tersebut sebagai salah satu rekod penanaman pokok Tangkol terbanyak secara serentak di Tuaran.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak MBOR atas penghargaan ini. Rekod ini berjaya direalisasikan melalui kerjasama erat antara sekolah, PIBG, guru-guru, ibu bapa, Pejabat Daerah serta pelbagai agensi yang berganding bahu menjayakan program ini,” ujarnya.

Para peserta bersama-sama menanam pokok tangkol di tebing sungai berdekatan SK Rangalau.

Sementara itu, Pegawai Daerah Tuaran Herman Tunggiging berharap program itu berjaya menambah impak kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga khazanah alam sekitar.

“Adanya pokok tangkol ini juga signifikan kerana selain menghijaukan persekitaran, akar pokok ini berfungsi untuk mengatasi hakisan tebing sungai,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Pejabat Perhubungan Parlimen Tuaran menerima pengiktirafan daripada wakil MBOR Siti Nurhanim Mohd Noh.

-RJ-

Tinggalkan komen anda