Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kuasa Internet di Hujung Jari Juga Boleh Bawa Binasa – KP JAPEN

By 29 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN

BATU PAHAT, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan mengingatkan kepantasan kuasa internet di hujung jari yang dinikmati semua saat ini juga boleh membawa kebinasaan.

Beliau berkata meskipun anak muda terutamanya pelajar sekolah kini mempunyai skil dan literasi digital yang baik namun perlu diingatkan ia bukan hanya menyentuh soal tahu akan penggunaan gajet sebaliknya berupaya membezakan maklumat benar dan palsu.

“Setiap kali menerima maklumat, jangan terus percaya, jangan terus sebar jika belum dipastikan kesahihannya. Tapis dengan akal dan nilai. Jangan jadi penyebar fitnah tetapi jadilah penyampai ilmu.

“Semua dari kita sama ada guru, ibu bapa serta pelajar sendiri perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan generasi yang mempunyai literasi digital yang baik juga adalah mereka yang menggunakannya ke arah yang bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kampung Angkat MADANI dan Program PENTERAMA X KELAB MALAYSIAKU di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, di sini hari ini.

Kunjungan Julina adalah bagi menyempurnakan penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) di sekolah berkenaan menerusi pembangunan dua projek fizikal berimpak tinggi iaitu penaiktarafan dan pengubahsuaian bilik darjah kepada makmal komputer dan pemasangan heli fan.

Pada masa sama, Julina turut berpesan agar para pelajar sentiasa mengelakkan budaya tidak sihat seperti buli.

Lebih-lebih lagi apabila beliau yakin bahawa golongan pelajar hari ini yang bakal meneraju kepimpinan negara pada masa depan adalah mereka yang penuh dengan tatacara budaya, adab dan budi bahasa yang tinggi.

“Saya harap anak-anak di sini akan elak budaya buli. Buli datang dalam pelbagai cara baik siber dan fizikal.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk menangani isu buli dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) sentiasa memainkan peranan besar dalam mendepani permasalahan ini,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda