
Laporan/Foto: Abdul Hadi Bin Abdul Ghani / Asrul Affandi Bin Saflie@Awang Sapre (Semporna)
SEMPORNA, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai kira-kira 70 orang pelajar Kelab Malaysiaku dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Panglima Jakarullah, di sini telah diberi peluang merasai pengalaman sebenar proses pilihan raya menerusi simulasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khamis lepas.
Penolong Pegawai Pendidikan, Unit Tingkatan Enam, Sektor Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna, Azaman@Azman Mohd. Zakaria, berkata program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang sistem demokrasi dan proses pilihan raya di negara ini.
“Pendidikan mengenai demokrasi wajar dimulakan dari peringkat sekolah agar pelajar lebih bersedia dan memahami proses tersebut apabila tiba masanya.
“Tatacara dan peraturan sepanjang tempoh pengundian turut didedahkan bagi memastikan pelajar memahami keseluruhan perjalanan pilihan raya,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif.

Ebur ketika memberikan taklimat simulasi pilihan raya daripada Pegawai SPR kepada pelajar.
Simulasi berkenaan adalah sebahagian daripada Program Jiwa MADANI @ Kelab Malaysiaku 2025: Taklimat dan Demo SPR Sabah anjuran Pejabat Penerangan Daerah Semporna dengan kerjasama SPR dan Kelab Malaysiaku Daerah Semporna.
Pegawai Penyelaras Pendidikan Pengundi SPR Sabah, Ebur Sabtar berkata program itu penting dalam memupuk kefahaman pelajar terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengundi pada masa akan datang.
“Program ini merupakan platform berkesan untuk mendidik generasi muda agar menghormati sistem demokrasi berparlimen. Selain itu, ia turut memberi pendedahan awal mengenai perjalanan sebenar pilihan raya.
“Pelaksanaan Undi18 telah membuka ruang kepada belia untuk terlibat secara aktif dalam proses demokrasi dan menyumbang idea-idea segar bagi memperkukuh sistem pilihan raya di Malaysia,” katanya.

Ebur memerhatikan pelajar-pelajar yang diberi peranan sebagai petugas simulasi pilihan raya yang berlangsung di SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah, Semporna di sini semalam.
Sementara itu, Pengetua SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah, Tengku Mohd. Nazri Tengku Anang menyifatkan penganjuran program itu sebagai inisiatif berkesan dalam meningkatkan kesedaran pelajar terhadap sistem demokrasi negara.
“Program seperti ini amat berguna untuk membentuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar supaya mereka lebih peka dan memahami peranan serta tanggungjawab sebagai pengundi pada masa depan,” ujarnya.
Untuk makluman, program seumpama ini akan diperluaskan ke Kelab Malaysiaku di beberapa sekolah lain di daerah ini, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Haji Abdullah, SMK Tagasan, SMK Bugaya I, SMK Bugaya II, SMK Kabogan dan SMK Agama Tun Sakaran.
-RJ-





