
Laporan/foto: Awangku Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Perpaduan dan kesefahaman antara komuniti dilihat mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan dan pembangunan daerah.
Perkara itu ditekankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Ghani Pengiran Amir ketika merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Pekan Kalabakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kalabakan, di sini Khamis lepas.

Hassan ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Jiwa Komuniti Madani Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Beliau mengingatkan komuniti agar menjadikan sifat kebersamaan dan perpaduan sebagai nilai utama dalam kehidupan bermasyarakat sekali gus sebagai landasan untuk mencapai kejayaan.
“Tanpa perpaduan tiada kesefahaman, tanpa kesefahaman tiada kejayaan. Kerjasama antara komuniti dengan kepimpinan setempat adalah asas pembangunan, seiring dengan perjuangan kemerdekaan yang diasaskan oleh generasi terdahulu.

Hassan ketika singgah ke reruai Pejabat Penerangan Daerah Tawau diiringi Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis.
“Perjuangan mereka dahulu adalah untuk memerdekakan tanah air, sementara perjuangan kita hari ini adalah untuk memerdekakan diri, jiwa dan minda,” katanya.
Program anjuran Komuniti MADANI Pekan Kalabakan itu turut diisi dengan bacaan Rukun Negara, pertandingan Busana Merdeka, edaran bahan penerbitan oleh Pejabat Penerangan Daerah Tawau serta nyanyian lagu Jalur Gemilang.
Dalam majlis berkenaan, Hassan turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada sekolah berkenaan bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti sekolah.

Peserta memperagakan pakaian sempena pertandingan Busana Merdeka.
“Ini adalah komitmen kita untuk memastikan anak-anak generasi baharu mendapat ruang pendidikan dan aktiviti yang seimbang, kerana mereka inilah harapan masa depan negara,” jelasnya.
Turut hadir, Pengerusi Komuniti MADANI Pekan Kalabakan, Raili Kahal bersama warga pendidik serta masyarakat setempat.
-RJ-





