
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/Facebook Datuk Zolkafly Harun
GOPENG, 19 Sep (MalaysiaAktif) – Perak Agrofest bakal menjanjikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung dan pendedahan pasaran untuk usahawan di Ladang Infoternak, Sungai Siput dari 26 hingga 28 September ini.

Mohd Zolkafly (tengah) ketika meninjau jualan hasil produk keluaran tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata program berkenaan bertujuan untuk membuka ruang kepada usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memperluaskan pasaran keluaran masing-masing.
Beliau berkata platform itu dilihat mampu menguatkan lagi pasaran hasil tani dan mengetengahkan produk agromakanan tempatan.
Katanya Lembaga Pemasaran Pertanian Pesekutuan (FAMA) Negeri Perak perlu menguruskan empat kluster utama dalam penganjuran kali ini iaitu Empayar Makanan, Industri Makanan Asas Tani (IMAT), Florikultur dan Jualan Agro MADANI (JAM) @ Pasar Tani Mesra.

Poster promosi Perak Agrofest 2025.
“Selain itu, terdapat 12 laman wajib dikunjungi antaranya Laman Padi, Laman Pertanian, Laman Inovasi, Teknologi dan Jentera, Laman Veterinar, dan Laman Nanas.
“Selain itu, Laman Ekonomi Biru, Laman Jabatan dan Agensi, Laman Zoo dan Night Safari, Laman Jualan Agro Madani @ Pasar Tani Mesra, Laman Florikultur, Laman Empayar Makanan dan Laman Industri Makanan Asas Tani,” katanya menerusi perkongsian hantaran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Facebook, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pengunjung akan menikmati sehingga 30 peratus penjimatan bagi jualan yang melibatkan hasil ternakan daging daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), hasil pungutan buah-buahan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), hasil tangkapan ikan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ternakan ayam daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
-RI





