Skip to main content
Berita TempatanSabah

Perpustakaan Islam Negeri Sabah: Akses Ilmu Islam Untuk Masyarakat

By 30 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 30 Sep (MalaysiaAktif) -Perpustakaan Islam Negeri Sabah terus menawarkan pelbagai kemudahan untuk orang awam menelaah pelbagai kandungan ilmu Islam sekali gus mewujudkan masyarakat celik ilmu.

Bertempat di dalam kawasan Masjid Negeri Sabah, Sembulan, bangunan dua tingkat yang dibuka pada Oktober 2022 itu boleh dijadikan pusat rujukan dengan himpunan sumber yang sahih sebagai kajian atau penyelidikan bersandarkan kepada konteks pengajian Islam.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Informasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEAINS), Adam Abdul Hai berkata perpustakaan itu menyediakan ruang yang selesa dan kondusif kepada pengunjung atau institusi.

Ruang perpustakaan yang tersusun indah dan kondusif ini menyediakan suasana tenang untuk pengunjung mendalami ilmu Islam dengan selesa.

“Perpustakaan ini beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang, kecuali pada hujung minggu dan cuti umum , fasiliti ini untuk semua lapisan masyarakat yang memberikan kemudahan atau akses kepada himpunan bahan rujukan agama tanpa sebarang halangan.

“Walau bagaimanapun, perpustakaan ini tidak membenarkan peminjaman buku, semua bahan rujukan yang ada, termasuk kitab tafsir, fiqh, sirah, dan buku-buku muktabar lain hanya boleh dirujuk di lokasi bagi memastikan bahan-bahan rujukan terjaga dalam keadaan baik dan tidak hilang,” katanya ketika ditemui di Perpustakaan Islam Negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Tambahnya lagi, pihak perpustakaan sedang merancang untuk meningkatkan koleksi bahan rujukan dan memperkaya sumber dengan menjalin kerjasama bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di samping mempromosi fungsinya kepada pelancong luar negara.

Perpustakaan Islam Negeri Sabah yang menyediakan ruang rujukan untuk masyarakat dan institusi dengan koleksi kitab tafsir, fiqh, sirah serta buku-buku muktabar yang boleh dirujuk di lokasi.

“Sementara itu, kita juga mahu fasiliti ini mesra pelancong, maka kami bercadang untuk menambah bahan bacaan di sini dalam bahasa asing seperti Bahasa Korea dan Mandarin, inisiatif ini bertujuan untuk memperkenalkan Islam kepada orang luar dengan cara yang lebih mudah difahami, sesuai dengan bahasa dan budaya mereka.

“Setakat ini, sambutan terhadap perpustakaan ini sangat menggalakkan, dengan banyak pengunjung yang telah datang dari pelbagai latar belakang, termasuk delegasi dari Perpustakaan Pahang dan Maahad Tahfiz Sultan Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam.

“Saya berharap agar perpustakaan ini dapat menjadi ikon di negeri Sabah dan menjadi contoh bagi perpustakaan Islam di Malaysia, dengan segala kemudahan yang disediakan, perpustaaan ini akan terus menawarkan manfaat yang besar kepada masyarakat, sambil memberi peluang kepada orang ramai mendalami ilmu Islam,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda