
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
MERSING, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Pasangan kembar seiras Syahirah Afifah dan Syahirah Afiqah Rohaizat membuktikan disiplin mampu mengubah kelemahan menjadi kelebihan apabila menerima Anugerah Pengarah Sijil Teknologi Maklumat pada Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2025 di Politeknik Mersing, semalam.
Tanpa asas dalam teknologi maklumat, graduan 21 tahun dari Kolej Komuniti Bandar Penawar itu mengakui perlu berusaha lebih gigih, memperuntukkan tiga jam sehari untuk ulang kaji serta menggunakan YouTube, Google dan bimbingan pensyarah sebagai rujukan tambahan.

Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2025 menyaksikan seramai 615 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing Johor, semalam.
“Perjuangan ini memang tidak mudah kerana kami agak sukar memahami sesuatu topik pada peringkat awal. Namun, cabaran itu menjadi pembakar semangat, ditambah pula dengan sokongan pensyarah yang sentiasa memberi dorongan.
“Pada masa sama, kami turut mendapatkan tunjuk ajar senior serta memanfaatkan aplikasi ChatGPT bagi membantu memahami topik yang sukar,” kata pasangan tersebut kepada MalaysiaAktif.
Sementara itu, pasangan kembar dari Gemas, Negeri Sembilan, Nur Alia Muyassarah dan Nur Alia Najiah Mohd Zafizal, 21, turut menerima Anugerah Pengarah selepas menamatkan pengajian di Kolej Komuniti Segamat 2.
“Kejayaan ini lebih bermakna kerana kami melangkah bersama sejak awal pengajian. Fokus sepenuhnya dalam kelas, mencatat segala penerangan pensyarah dan menjaga disiplin termasuk tidak meninggalkan solat menjadi kunci kejayaan kami,” kata mereka yang kini merancang menyambung pengajian ke peringkat Diploma di Politeknik Mersing.

Muhammad Uwais menjadikan kekurangan sebagai cabaran dan terus gigih mengejar cita-cita dalam bidang seni bina.
Dalam pada itu, semangat juang Muhammad Uwais Al-Qarni Muhamad Ismail, 21, yang menghidap cerebral palsy wajar dijadikan inspirasi apabila beliau membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mengejar cita-cita dalam bidang seni bina.
“Ibu dan ayah selalu mengingatkan bahawa kekurangan bukanlah penghalang, sebaliknya cabaran untuk terus melangkah,” katanya yang bersyukur menerima sokongan rakan-rakan serta pensyarah sepanjang pengajian.
Hasil kegigihannya, Muhammad Uwais kini berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Pra Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.
Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2025 menyaksikan seramai 615 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin.
Turut hadir Pengarah Politeknik Mersing Ts Dr Robert @ Kerk Swee Tian.
-RI





