
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Mohd Khairulnizam Yunus (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Hujan gerimis tidak menghalang hampir 30,000 orang membanjiri Padang Majlis Bandaraya Seremban bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat Negeri Sembilan, semalam.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memeriksa perbarisan.
Orang ramai mula memenuhi kawasan tempat duduk sejak pukul 6.30 pagi bagi menyaksikan perarakan 87 kontinjen melibatkan hampir 5,000 peserta yang mengambil bahagian dalam perbarisan sempena sambutan berkenaan.
Majlis dimulakan selepas keberangkatan tiba Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, yang berkenan mencemar duli menyaksikan persembahan.
Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun pula mengetuai barisan kepimpinan negeri membacakan ikrar Rukun Negara yang disusuli dengan lima das tembakan meriam.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun mengetuai bacaan Ikrar Rukun Negara.
Sambutan seterusnya diserikan dengan persembahan bertemakan “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” yang menampilkan kepelbagaian kaum hidup harmoni sejak sebelum merdeka.
Persembahan itu turut menggambarkan bahawa meskipun negara berdepan pelbagai cabaran selepas merdeka, rakyat tetap teguh bersatu menolak anasir yang cuba menggugat keamanan.
Salah seorang pengunjung, Jumaidah Samat, 53, berkata beliau begitu teruja dapat menyaksikan acara tersebut secara langsung.
“Saya begitu teruja menyaksikan persembahan yang mantap, dan sedikit sebanyak memberikan kesedaran untuk bersyukur dengan kemerdekaan yang telah kita capai sejak 68 tahun yang lalu,” katanya.
-RI





