Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Rakyat Pahang Hadir Seawal 5 Pagi Sambut Hari Kebangsaan 2025

By 1 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Ribuan pengunjung mula membanjiri Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 seawal pukul 5 pagi bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Pahang yang berlangsung meriah dengan perbarisan pelbagai kontinjen, semalam.

Nur Liyana Syahidah dan Izz Yusuf bersemangat menunggu majlis sambutan Hari Kebangsaan bermula.

Antara yang hadir ialah Nur Liyana Syahidah Hamidi, 21, dari Temerloh yang sanggup datang awal bersama keluarganya demi menunjukkan semangat patriotisme terhadap tanah air.

“Hari ini, kita buktikan bahawa rakyat Pahang sentiasa bersatu hati menjaga keharmonian negeri dan tanah air tercinta,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif.

Beliau yang turut membawa seorang anak asuhan ibunya berkata, pengalaman menyaksikan sambutan itu secara dekat memberikan keterujaan tersendiri, khususnya buat generasi muda.

Acara dimulakan dengan perarakan pejalan kaki melibatkan 82 kontinjen, diikuti perarakan kenderaan 68 kontinjen membabitkan 644 kenderaan, enam pancaragam serta tiga kereta berhias daripada pasukan keselamatan, jabatan kerajaan, pelajar sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

Gelagat santai ahli kelab Proton X50 ketika menunggu giliran perarakan.

Sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan kehadiran empat pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang melakukan lintas hormat (flypast) di ruang udara Bandaraya Kuantan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, berkenan berangkat ke acara sambutan berkenaan.

Baginda berdua turut diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

-RI

Tinggalkan komen anda