Skip to main content
SarawakBerita Tempatan

Selain Pingat, Laksa Sarawak dan Mi Kolok Jadi Misi Kuliner Atlet Sabah dan Labuan

By 27 September 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Lee Nyuk Lan/Norhafizah Yusof (Sarawak)

KUCHING, 27 Sep (MalaysiaAktif) –Memang tidak dapat dinafikan bahawa hasrat utama setiap atlet yang bertanding di Borneo Games 2025 adalah untuk meraih pingat emas.

Namun, di sebalik semangat kesukanan yang membara, tarikan makanan tempatan yang terkenal di Kuching turut menjadi misi rahsia yang ingin dicapai oleh wakil-wakil dari luar Sarawak, terutamanya dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Victor Yap  tidak lepaskan peluang menjadikan Laksa Sarawak dan Mi Kolok sebagai santapan wajib sepanjang berada di Kuching.

Ketika ditemui pagi tadi, Victor Yap Ka How, 16, atlet badminton yang merupakan seorang pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Maktab Sabah buat pertama kali mewakili Sabah, mendedahkan apakah makanan kegemarannya setelah beberapa hari di Kuching.

“Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air kerana makanan di sini semua sedap-sedap belaka dan yang paling saya suka adalah Laksa Sarawak dan Mi Kolok,” ujar beliau, menganggap kedua-dua hidangan tersebut sebagai santapan wajib sepanjang berada di Kuching.

Zuhaily mengakui Mi Kolok sentiasa menjadi buruan setiap kali berkunjung ke Kuching.

Begitu juga dengan Muhammad Zuhaily Jablin, 28, atlet badminton dari Sabah dan seorang Pegawai Perikanan di Kota Kinabalu yang mengatakan bahawa setiap kali datang ke Kuching, pastinya Mi Kolok dicari.

“Walaupun hidangan ini ringkas sahaja dengan daging sapi dan sup taugeh tetapi rasanya memang sedap dan istimewa, tidak terdapat di mana-mana negeri selain Sarawak,” katanya.

Selain itu, atlet berenang dari Labuan, Dylan Su Yu Herng, 16, yang kini berada di Kuching buat kali kedua, turut berkongsi mengenai makanan kegemaran beliau di sini.

“Saya datang ke sini mesti mencari Mi Kolok dan Laksa Sarawak, satu kewajiban,” katanya lagi.

Kek lapis Sarawak dan kek mentega dari Mita Cake House jadi pilihan atlet sebagai buah tangan sebelum pulang.

Bagi segelintir atlet pula, misi kuliner mereka tidak terhenti di situ kerana sebelum berangkat pulang mereka merancang untuk membawa pulang cenderamata dari ‘dapur orang Sarawak’, iaitu kek lapis Sarawak dan juga kek mentega (butter kek) dari Mita Cake House.

Bagi mereka, kek lapis tempatan dan kek mentega melengkapi pengalaman di Borneo Games yang akan dibawa pulang ke negeri masing-masing.

-RJ-

Tinggalkan komen anda