Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Usia Bukan Penghalang: Pesara Kekal Aktif Sebagai Kru Teknikal Borneo Games

By 27 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Norlia Mili/ Lim Poh Choo (Sarawak)

KUCHING, 27 Sep (MalaysiaAktif) – Walaupun telah bersara, sumbangan dan khidmat bakti tetap ingin dicurahkan dalam mana-mana program atau acara rasmi jika diberikan peluang untuk menyertainya.

Kesempatan itu tiba apabila berlangsungnya Borneo Games di Kuching yang membuka peluang untuk beberapa pesara kerajaan memberi sumbangan sebagai kru teknikal temasya sukan kali ini.

Pasangan Julis (kanan) bersama suaminya, Jackson Maxewell, turut menyumbang bakti sebagai kru teknikal Borneo Games di Kuching.

Ketika ditemui pagi tadi, Julis Neba Sirep, 65, pesara Jabatan Penerangan Malaysia berkata penglibatan beliau sebagai pembantu teknikal membuktikan usia bukan penghalang untuk terus berkhidmat apatah lagi untuk temasya sukan di tempat sendiri.

Pengalaman tiga dekad menabur bakti dalam perkhidmatan awam juga menjadi motivasi untuk beliau bergandingan bersama rakan-rakan pesara lain membantu pihak penganjur.

“Alam persaraan bukan alasan untuk duduk berdiam diri sepanjang masa, tidak aktif dan menyisihkan diri daripada mana-mana program sebaliknya apabila sering aktif terlibat dengan pelbagai perkara termasuk sentiasa berinteraksi dengan orang lain, ia membuatkan tubuh badan sentiasa kekal sihat,” kata Julis lagi yang juga merupakan seorang pemandiri kanser.

Bagi pesara yang kali terakhir berkhidmat sebagai guru besar, Louis Simon Peter, 66, yang kini merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Negeri Sarawak menceritakan pengalaman selama 16 tahun dalam sukan memanah membuatkannya dilantik sebagai Ketua Delegat Teknikal, Sekretariat Jawatankuasa Sukan dan Teknikal Sukan Memanah.

Mengan (kanan), isteri kepada Louis Simon Peter, turut bersama menyumbang khidmat sebagai kru teknikal Borneo Games.

Beliau yang sering diberikan tanggungjawab sebagai hakim pertandingan memanah mengakui setiap kali bertugas, ia merupakan kepuasan baginya kerana masih dapat menyumbang kepakaran ketika diperlukan.

“Ramai kru teknikal adalah pesara yang berminat dan memahami tuntutan tugas yang mereka lakukan sejak daripada SUKMA Sarawak 2024 yang lalu.

“Walaupun peranan sebagai kru teknikal dilihat kecil, kami bertanggungjawab memastikan perjalanan pertandingan berjalan lancar dan teratur antaranya menyediakan tapak pertandingan termasuk tugas-tugas pentabiran seperti mengumpul markah pertandingan untuk dimasukkan ke dalam sistem,” jelasnya.

Menurut Louis lagi, penglibatan sebagai sukarelawan adalah antara saluran yang dapat membantu para pesara mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat dan bertujuan menjaga kesihatan.

Kedua-dua Julis dan Louis sepakat bahawa penyertaan dalam program seperti ini memberi makna besar kerana mereka kerana masih dapat berbakti walaupun tidak lagi dalam perkhidmatan awam dan berharap lebih ramai pesara tampil memberi sokongan serta menyumbang tenaga kepada penganjuran acara besar seperti Borneo Games.

-RJ-

Tinggalkan komen anda