
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 6 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun terus menjadi wadah penting dalam memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Jawatankuasa Masjid Futuhurrahman, Kampung Charuk Keladi dengan kerjasama warga penduduk Kampung KEDA Asam Jawa tidak terkecuali menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul, di sini hari ini.

Para peserta yang menjayakan perarakan Maulidur Rasul anjuran Masjid Futuhurrahman hari ini.
Majlis dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul yang disertai pelbagai lapisan masyarakat sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW bermula dari Masjid Futuharrahman, Kampung Charuk Keladi menuju ke Dewan Lestari, Kampung KEDA Asam Jawa menjadi permulaan sambutan.
Setiausaha Masjid, Ibrahim Abd Roni ketika ditemui, berkata program ini mampu memperkukuh silaturahim dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
“Selain memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW program ini juga menjadi platform untuk kita bersama-sama meningkatkan ilmu agama serta memperkukuh ukhwah sesama masyarakat,” ujarnya.
Selain perarakan, pertandingan azan turut diadakan bagi mencungkil dan menggilap bakat baharu dalam kalangan generasi muda dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana para peserta mempersembahkan laungan azan dengan penuh semangat dan penghayatan.

Sambutan Maulidur Rasul warga Kampung Charuk Keladi dan Kampung KEDA Asam Jawa meriah dengan alunan selawat nabi.
Salah seorang peserta perarakan, Rokiah Md Rejab, 53, menzahirkan kesyukuran di atas penganjuran program sebegini dan berharap agar ia dapat diteruskan setiap tahun.
“Program ini dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk berkumpul dan bersama-sama memperingati perjuangan Rasulullah SAW,” ujarnya.
Majlis yang sederhana tapi penuh bermakna itu diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung berkenaan.
-RI





