
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 6 Sep (MalaysiaAktif) – Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, pelbagai aktiviti patriotik dilaksanakan di seluruh negara tanda kecintaan rakyat terhadap tanah air, di samping menyemarakkan semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum antaranya ialah penganjuran sambutan Hari Kebangsaan, perarakan dan Konvoi Merdeka.

Perserta mengambil tempat masing-masing sebelum memulakan konvoi.
Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Pendang dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Pendang turut mengambil peluang ini untuk menganjurkan Konvoi Merdeka bagi menyemarakkan semangat patrotisme, menzahirkan rasa cinta kepada negara serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Konvoi yang disertai lebih 100 peserta melibatkan motosikal berkuasa besar, kereta, kenderaan pacuan empat roda dan lori itu dilepaskan di perkarangan Majlis Daerah Pendang sebelum melalui beberapa laluan utama sekitar pekan dan kampung dengan kibaran Jalur Gemilang yang meriah.
“Konvoi Merdeka tahun ini mendapat penyertaan luar biasa membuktikan orang ramai menyedari kepentingan bersatu hati dalam mengukuhkan perpaduan, semangat patriotisme serta jati diri sebagai rakyat Malaysia,” kata Penghulu Mukim Padang Kerbau, Haslimi Saidin dalam ucapannya sebelum membuat pelepasan konvoi di sini hari ini.
Konvoi Merdeka yang penuh gilang gemilang ini turut disertai oleh dua buah kenderaan Jabatan Penerangan, pelbagai kenderaan milik 1 Minute Miracle termasuk Audi R8, Audi TT, pacuan empat roda, van dan lori, selain penyertaan 15 buah motorsikal berkuasa besar milik Pendang Bikers Club serta 30 buah motorsikal kuasa besar daripada Group Motor Tong.
Sebanyak 11 buah kenderaan daripada Extreme Adventure Club dan 30 buah motorsikal klasik daripada Kelab Motorsikal Klasik Kedah turut serta memeriahkan pasukan Konvoi Merdeka ketika perarakan masuk ke Mini Stadium Pendang sekali gus menambahkan lagi keunikan serta kemeriahan sambutan pada tahun ini.

Sebahagian kenderaan dari Extreme Adventure Club serta Sport Car Audi R8 dan Audi TT milik 1 Minute Miracle yang mengikuti Konvoi Merdeka hari ini.
Salah seorang peserta konvoi, Mohd Termizi Abu Seman, 45, menzahirkan rasa bangga dapat bersama-sama menyertai Konvoi Merdeka kerana baginya ia bukan sahaja mencerminkan semangat cintakan negara, malah menjadi medium mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
“Dengan kemeriahan yang dirasai pada hari ini, saya berharap agar dapat terus menyertai program seumpama ini pada tahun hadapan kerana ia memberi pengalaman bermakna serta menyemarakkan lagi semangat cinta kepada negara,” ujarnya.
Kehadiran konvoi ini mendapat perhatian orang ramai yang tidak melepaskan peluang mengibarkan bendera serta memberikan sokongan sepanjang laluan terutama kenderaan berwarna merah jambu milik 1 Minute Miracle yang mencuri tumpuan dengan hiasan Jalur Gemilang yang menarik dan kreatif.
-RI





