
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 6 Sep (MalaysiaAktif) – Briged Muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang terus mencipta sejarah apabila berjaya mengharumkan nama sekolah, daerah dan negeri di pentas antarabangsa menerusi pelbagai kejayaan membanggakan.

Ketua pasukan pancaragam SK Pendang menerima Sijil Penyertaan daripada Pegawai Daerah Pendang.
Pasukan yang ditubuhkan pada tahun 2022 dengan kekuatan seramai 116 orang ahli itu mula diasaskan oleh mantan Guru Besar SK Pendang Badrul Shahar Abdul Wahab yang kini terus unggul dan menyerlah di bawah pimpinan baharu, Guru Besar Mohd Nasir Yaacob.
Antara kejayaan cemerlang yang pernah diraih termasuk muncul juara keseluruhan Marching Street Parade dan Marching Field Show Division 1 dalam Malaysia National Band Competition (NATCOMP) selama tiga tahun berturut-turut pada tahun 2022, 2023 dan 2024, selain menjuarai kategori Drumline Battle dalam pertandingan di peringkat yang sama bagi dua tahun berturut-turut pada tahun 2023 dan 2024.
Lebih membanggakan, Briged Muzik SK Pendang baharu sahaja dinobatkan sebagai juara bagi tiga kategori dalam pertandingan Malaysia International Marching Arts Championship (MIMAC) 2025 iaitu Drummers Face-Off Junior, Drummers Face-Off Overall dan Ultimate Drummer Showdown.
Menurut Mohd Nasir yang juga bertindak sebagai ketua kontinjen, persembahan pasukan itu pada 31 Ogos lalu di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah serta kerabat diraja sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Kedah merupakan satu penghormatan besar buat seluruh warga SK Pendang.

Briged Muzik SK Pendang membuat persembahan di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat daerah Pendang.
“Kejayaan pasukan ini sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa merupakan hadiah teristimewa untuk seluruh warga daerah Pendang dan SK Pendang khususnya.
“Kami akan meneruskan latihan dan memperbaiki kelemahan yang ada agar dapat terus beraksi cemerlang dalam mana-mana kejuaraan akan datang,” ujarnya.
Pasukan Briged Muzik ini turut dijemput khas untuk membuat persembahan di hadapan penduduk tempatan khususnya warga daerah Pendang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Daerah Pendang yang berlangsung di Mini Stadium Majlis Daerah Pendang hari ini.
-RI





