
Laporan/foto : Luhat Ajang (Sarawak)
KUCHING, 26 Sep (MalaysiaAktif) – Seperti mana-mana temasya sukan besar, Sukan Borneo 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 28 September ini turut disemarakkan dengan penyertaan para sukarelawan, termasuk pelajar sekolah menengah dari sekitar Kuching.
Antara sekolah yang aktif menyumbang tenaga adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa, menghantar seramai 50 orang pelajar untuk bertugas sebagai Pembantu Teknikal di lokasi acara olahraga.
Ketika ditemui, Alexander Jok, 19, pelajar Tingkatan Enam, meluahkan rasa teruja kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan Sukan Borneo kali ini.
“Pada mulanya saya agak keberatan kerana ingin fokus pada peperiksaan STPM tahun hadapan, tetapi akhirnya saya memilih untuk turut serta. Saya gembira kerana selain bertugas, saya juga berpeluang menyaksikan sendiri pelbagai acara sukan yang berlangsung,” katanya.

Alex (kanan barisan hadapan) manakala Jackson (dua kiri, barisan hadapan) bersama sukarelawan yang lain.
Perasaan yang sama turut dikongsi oleh Jackson Lim Kai Jie, 19, pelajar kacukan Cina-Iban dari Kedah, yang menganggap penyertaannya kali ini sebagai satu peluang keemasan.
“Ini merupakan kali ketiga saya terlibat sebagai sukarelawan, selepas Para Sukma dan Sarawak Junior & Super Series sebelum ini. Pengalaman sebegini sangat berharga kerana kami akan menerima surat penghargaan daripada Majlis Sukan Negeri Sarawak, yang boleh dimanfaatkan untuk kerjaya dan permohonan ke universiti,” ujar Jackson yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat universiti selepas tamat Tingkatan Enam.
Guru Sains Sukan SMK Batu Kawa, Pui Tze Yang, 54, memaklumkan bahawa sekolah tersebut sememangnya aktif dalam program sukarelawan, khususnya dalam bidang sukan di negeri ini.

Sokongan penuh dari SMK Batu Kawa. Cikgu Pui dan dua pelajar sukarelawan bersedia memberi yang terbaik di Sukan Borneo 2025
“Bagi temasya kali ini, seramai 50 pelajar terlibat sebagai Pembantu Teknikal – 47 daripada mereka merupakan pelajar Tingkatan Enam, seorang dari Tingkatan Empat, dan dua orang dari Tingkatan Tiga. Selain itu, sembilan orang guru, termasuk saya sendiri, turut menyumbang masa dan tenaga,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan pelajar dalam program sukarelawan bukan sahaja memperluaskan pengalaman mereka di luar bilik darjah, malah membina keyakinan diri serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam kerjaya masa depan.
Bagi para pelajar yang terlibat, peluang yang diberikan pastinya akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba pengalaman dan ilmu berharga yang bakal menjadi bekalan berguna dalam perjalanan hidup mereka kelak.
-RJ-





