Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Mini Karnival Internet Selamat Tingkat Kesedaran Murid Sekolah di Batang Ai

By 26 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Nyempal Inggang/ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Sarawak)

LUBOK ANTU, 26 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 110 pelajar terdiri daripada 11 buah sekolah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai telah menghadiri Mini Karnival Kempen Internet Selamat yang dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu, di sini hari ini.

Pelajar yang hadir dari SK Lubok Antu, SK Batang Ai, SK Sekarok, SK Sebangki, SK Ng Aup, SK Kumpang, SK Melaban, SK Nanga Kesit, SK San Semanju, SMK Ridan dan SMK Lubok Antu.

Karnival ini turut melibatkan penyertaan rakan strategik seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuka ruang perkongsian maklumat kepada para peserta.

Peserta yang hadir terdiri guru dan pelajar memberikan tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.

Menurut penceramah MCMC Mohd Muizzudin Rengga, internet masa kini bukan sahaja berfungsi sebagai medium komunikasi malah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian masyarakat.

Katanya, perkembangan teknologi itu ketika ini membawa banyak manfaat, namun dalam masa sama hadir dengan risiko dan cabaran yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan khususnya golongan muda.

“Antara isu utama yang sering melibatkan pelajar sekolah pada masa ini ialah buli siber iaitu satu bentuk gangguan atau kekerasan dalam talian yang mampu memberi kesan negatif terhadap emosi dan mental mangsa,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pelbagai masalah lain turut membabitkan pelajar antaranya penyalahgunaan media sosial, ketagihan permainan dalam talian dan menjadi mangsa penipuan melalui mesej palsu atau e-mel yang mengelirukan.

Mohd Muizzudin Rengga berkata internet walaupun bermanfaat tetapi berisiko mengancam keselamatan golongan muda.

Dalam program sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Lubok Antu Inspektor Happer Kenol turut menyampaikan ceramah mengenai bahaya buli siber yang menekankan kepentingan penggunaan media sosial secara berhemah dan menyeru golongan pelajar supaya lebih berhati-hati membabitkan perkongsian maklumat peribadi.

Melalui penganjuran karnival ini, pelajar diberi pendedahan tentang cara menggunakan internet dengan lebih bijak dan selamat, sekali gus membantu mereka memanfaatkan teknologi tanpa terdedah kepada ancaman siber.

-RJ-

Tinggalkan komen anda