Skip to main content
Berita TempatanSarawak

STB Fokus Promosi Sarawak di Borneo Games

By 26 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Lee Nyuk Lan/ Luhat Ajang (Sarawak)

KUCHING, 26 Sep (MalaysiaAktif) – Borneo Games 2025 yang sedang berlangsung di Kuching ketika ini bukan sahaja menjadi pentas penganjuran pelbagai acara sukan malah turut membuka peluang kepada Sarawak untuk menonjolkan keunikan yang terdapat di sini.

Penyelaras Pelancongan STB. Saga Jabat (tengah) bersama dengan kumpulan penari tarian tradisional di tapak Borneo Games 2025.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) tidak melepaskan peluang sempena temasya sukan yang melibatkan penyertaan tuan rumah Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan Timur bagi mempromosikan keunikan budaya serta destinasi pelancongan menarik di Bumi Kenyalang.

Fokus utama STB sepanjang berlangsungnya Borneo Games dari 24 hingga 28 September di Kompleks Sukan Petra Jaya untuk memperkukuhkan promosi dan publisiti pelancongan Sarawak, bukan sahaja kepada delegasi sukan dari luar negara malah juga kepada masyarakat tempatan.

Penyelaras Pelancongan STB Saga Jabat, 48, ketika ditemui semalam berkata, reruai STB di lokasi temasya itu direka khas untuk memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung yang bukan sekadar menyediakan maklumat mengenai destinasi menarik tetapi turut memperkenalkan kekayaan seni dan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Kami menampilkan kumpulan penari yang mempersembahkan tarian tradisional berbilang kaum secara langsung di reruai ini dan ia sememangnya menjadi tarikan utama, khususnya bagi pengunjung dari luar negara,” katanya.

Salah seorang penari yang persembahankan tarian tradisional kaum Iban di reruai STB.

Keunikan masyarakat berbilang kaum Sarawak dipamerkan dengan jelas melalui persembahan tarian, di samping paparan pakaian tradisional yang begitu unik dan cantik malah reruai STB juga menyediakan permainan santai untuk menarik pengunjung untuk cuba membawa pulang hadiah dan cenderamata yang disediakan.

“Ramai juga yang bertanya mengenai Kampung Budaya Sarawak dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh untuk melihat Orang Utan,” tambah beliau lagi.

Selain reruai utama pelancongan, pameran kraf tangan masyarakat tempatan turut diadakan bagi memperkayakan lagi pengalaman pengunjung sepanjang temasya Borneo Games kali ini.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab mempromosikan pelancongan, STB dilihat bijak menggunakan kesempatan penganjuran temasya sukan besar seperti ini, sama seperti peluang yang dimanfaatkan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun lalu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda