
Laporan/foto : Musliha Yusof/Azmi Ahamad (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Kumpulan Mengaji Al-Quran Rakan Strategik Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Johor menganjurkan Program Khatam Al-Quran dengan penyertaan 50 peserta terdiri daripada pesara JAPEN bersama keluarga masing-masing.

Membaca al-Quran boleh mengeratkan silaturahim.
Program tahunan itu diadakan bertujuan bagi mengeratkan silaturahim selain memperkukuh komunikasi berkesan dalam membentuk interaksi sosial secara bersemuka.
Pengerusi Kumpulan Mengaji Al-Quran Hashim Bedu berkata budaya membaca dan memahami al-Quran perlu diperkasa dalam masyarakat agar ia menjadi amalan harian.
“Budaya membaca dan memahami al-Quran perlu dipupuk dalam masyarakat agar ia menjadi amalan harian kerana al-Quran adalah asas penting dalam kehidupan seorang Muslim,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Hotel Pinetree, di sini semalam.

Alunan selawat keatas Nabi Muhammad S.A.W. mengiringi Majlis Khatam Al-Quran.
Kumpulan mengaji tersebut ditubuhkan pada 2019 dengan matlamat menyemai budaya membaca al-Quran secara berkelompok dalam kalangan pesara JAPEN.
Majlis khatam turut diserikan dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Turut hadir Pengarah Kanan (Pengurusan) JAPEN Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor.
-RI





