
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 4 Sep (MalaysiaAktif) – Temasya Warisan Pahang 2025 membuka tirai dengan penuh meriah dengan menyerlahkan kepelbagaian dan keunikan budaya negeri Pahang.

Tengku Ampuan Pahang turut sama menari Sewang dengan orang Asli dari Pos Betau.
Program yang julung-julung kalinya diadakan ini menjadi medan penting dalam usaha memelihara, memartabat dan memperkenalkan khazanah warisan Pahang kepada generasi muda serta pelancong dari dalam dan luar negeri.
Pelbagai acara menarik disusun sepanjang tujuh hari penganjuran yang bermula pada 1 hingga 7 September ini di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi antaranya pameran artifak sejarah, persembahan kebudayaan, demonstrasi permainan tradisional, jualan produk kraftangan tempatan serta pertandingan masakan warisan.
Menurut Setiausaha Kehormat Yayasan Tenun Pahang Diraja Datuk Zuraida Mokhtar Temasya Warisan Pahang turut menampilkan penyertaan usahawan kecil dan komuniti setempat yang memasarkan hasil kraf, makanan tradisi serta produk seni kreatif, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar.
“Kita turut membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mempelajari seni warisan yang dipamerkan di sini antaranya seni jahitan kreatif, anyaman mengkuang, seni telepuk dan ukiran kayu,” katanya.

Temasya Warisan Pahang turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Kerajaan Negeri Sarawak turut serta memeriahkan temasya kali ini dengan membawa pelbagai jenis kraftangan dari Bumi Kenyalang yang ditempatkan dalam satu ruangan khas dinamakan Sarawak Pavilion yang menjadi tarikan utama kerana menampilkan identiti unik masyarakat Sarawak melalui hasil seni, tenunan, ukiran serta makanan tradisi.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berkampung di lokasi sepanjang penganjuran temasya ini yang turut berinteraksi dengan rakyat serta mengambil bahagian dalam demonstrasi masakan beberapa menu pilihan Baginda Tuanku sekali gus menyerlahkan keprihatinan baginda dalam memelihara dan mempromosikan warisan kulinari negara.
-RI





