Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

SARA 2025: Komuniti MADANI Tawang Didik Warga Emas Percaya Semakan Dalam Talian

By 4 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin

BACHOK, 4 Sep (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI DUN Tawang tampil membantu masyarakat khususnya warga emas yang masih ragu-ragu dengan semakan dalam talian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan melaksanakan inisiatif turun padang ke pasar raya terpilih.

Usaha ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada peranti semakan dan penebusan SARA di lokasi tersebut, sekali gus mengatasi masalah kesesakan.

Zahari berbincang bersama AJK Komuniti MADANI Keluat.

Walaupun kerajaan menyediakan saluran digital dan kemudahan semakan di Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI), sebahagian warga emas masih lebih yakin kepada pengesahan fizikal menggunakan peranti semakan.

Walaubagaimanapun, tindakan ini menimbulkan masalah apabila peranti yang sama turut digunakan untuk proses penebusan, menyebabkan barisan pembayaran menjadi panjang dan sistem penebusan perlahan kerana wujud semakan berulang kali.

Prihatin dengan dilema ini, tiga komuniti MADANI iaitu Komuniti MADANI Tawang Bestari, Komuniti MADANI Beris Kubur Besar dan Komuniti MADANI Keluat bergabung tenaga untuk membantu orang ramai membuat semakan lebih awal menggunakan platform digital.

Jurucakap Utama Komuniti MADANI Daerah Bachok, Zahari Mohd Sidik, menjelaskan bahawa ramai warga emas masih berasa lebih yakin apabila melihat pengesahan pada peranti semakan dan penebusan SARA walaupun semakan atas talian sah.

“Ramai warga emas masih rasa lebih yakin bila dapat tengok pengesahan di peranti semakan dan penebusan SARA walaupun semakan atas talian sudah cukup sah.

Sebab itu kami datang bantu mereka, terangkan langkah-langkah semakan atas talian, dan pada masa sama cuba yakinkan mereka bahawa sistem atas talian adalah tepat dan selamat. Dengan cara ini, mereka tak perlu terlalu bergantung kepada peranti di pasar raya yang sesak,” jelasnya, di sini semalam.

Seorang penerima Penghargaan Khas SARA, Alawiah Said, 57, mengakui beliau lebih percaya kepada semakan di pasar raya walaupun telah diajar membuat semakan atas talian.

Abdullah Aqili menunjukkan kelayakan seisi rumah.

“Saya dah cuba semak guna telefon, memang keluar maklumat, tapi hati saya rasa lebih lega bila tengok di peranti semakan dan penebusan SARA. Saya takut maklumat dalam telefon tak sama dan takut scammer.

“Tapi bila ada orang Komuniti MADANI tolong semak dan terangkan ia betul dan selamat, saya jadi lebih yakin,” katanya.

Inisiatif ini membuktikan keprihatinan Komuniti MADANI DUN Tawang dalam mendekati masyarakat secara praktikal, bukan sahaja membantu membina keyakinan masyarakat terhadap sistem digital kerajaan, tetapi juga mengurangkan kesesakan di pasar raya.

-RI

Tinggalkan komen anda