Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Hujan Tidak Halang Ribuan Umat Islam Meriahkan Maulidur Rasul di Sarikei

By 5 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Ainie Elah/Ziaulkhumaini Othman/Jamali Daud(Sarawak)

SARIKEI, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Hujan yang turun pada pagi Jumaat tidak mematahkan semangat ribuan umat Islam untuk meraikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2025/1447H yang berlangsung meriah di Kompleks Sukan Integrasi Sarikei, di sini, hari ini.

Mengangkat tema “Ummah Maju Makmur”, sambutan kali ini disertai 44 kontijen melibatkan lebih 3,000 peserta daripada jabatan kerajaan, institusi pendidikan, NGO, masjid, surau, persatuan dan masyarakat setempat, mencerminkan kesatuan serta kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ir Yusuf menyampaikan ucapan perasmian.

Walaupun hujan, semua peserta tetap meneruskan perarakan dan sambutan kali ini turut disertai Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Ir Yusuf Abdul Wahab.

IR Yusuf dalam ucapannya berkata kekuatan ummah hanya dapat dicapai melalui semangat perpaduan dan persaudaraan yang erat sehinggakan sambutan tersebut berjaya menyemai semangat kerjasama serta menyatukan masyarakat pelbagai lapisan.

“Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 110 iaitu berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah; mengingatkan kita bahawa perpaduan perlu diperkukuhkan demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi.

Penyampaian Sijil Penyertaan kepada Jabatan Tanah Dan Survei Sarikei sebaik sahaja tiba di perkarangan Kompleks Integrasi Sukan Sarikei.

Majlis dimulakan dengan persembahan nasyid daripada Kumpulan Soutul Hayyan dari SMK Sarikei Baru yang membawakan lagu “Malumu Perisaimu” dan persembahan penuh penghayatan ini mendapat sambutan mengalakkan daripada para hadirin.

Sambutan turut dimeriahkan dengan Pertandingan Sepanduk melibatkan empat kategori iaitu Kategori A Jabatan dan Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Firma Swasta, Syarikat, Institusi Kewangan, seterusnya Kategori B Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah, Pusat Kemahiran, Institut Pengajian Tinggi manakala Kategori C Masjid, Surau, JKKK, KRT dan Kategori D pula Persatuan, Kelab dan Pertubuhan.

Johan Pertandingan Sepanduk untuk Kategori A dimenangi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, naib johan pula dimenangi Persatuan Kebajikan Islam Kastam Diraja Malaysia Sarikei dan tempat ketiga disandang Pejabat Hutan Wilayah Sarikei.

SMK Sarikei Baru dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 20251447H.

Bagi Kategori B, johan dimenangi SMK Sarikei Baru, naib johan disandang SK Agama (MIS) Sarikei dan tempat ketiga dimenangi SK Abang Amin, Bintangor.

Johan Kategori C di menangi KMKK Melayu Melanau Sarikei, naib johan Masjid Al-Muttaqin Bahagian Sarikei dan tempat ketiga dimenangi Gabungan JKKK dan JKP Surau As-Syakirin, Kampung Baru Skim B, Meradong.

Warung Salleh memenangi Johan Kategori D, Persatuan Melanau Sarikei merangkul naib Johan dan tempat ketiga Persatuan KAFA Bahagian Sarikei.

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda