Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Warga Labuan Syukuri ‘Hadiah’ Hari Kebangsaan 2025

By 1 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Warga Labuan nyata gembira dan mensyukuri ‘hadiah’ bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 oleh kerajaan yang boleh digunakan bermula semalam.

Menurut Luqmanulhakim Imbran, 28, beliau gembira dapat berbelanja bersama keluarga menggunakan bantuan SARA itu.

“Perasaan memang gembira kerana kerajaan banyak membantu ringankan kos perbelanjaan barang keperluan asas yang tinggi pada setiap bulan.

“Saya harap inisiatif yang bagus ini akan berpanjangan dan ditingkatkan lagi bagi membantu lebih ramai masyarakat,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Norlinda mensyukuri rezeki dan keprihatinan kerajaan yang menyalurkan SARA.

Bagi Norlinda Muda 57 , menzahirkan kesyukuran atas keprihatinan pihak kerajaan menyalurkan SARA.

“Alhamdulillah, memang rezeki hari ini, terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang prihatin kepada rakyat khasnya kami yang bekerja swasta terima gaji sekitar tujuh atau lapan hari bulan.

“Saya harap program ini diteruskan untuk ringankan beban rakyat terutama yang bergaji rendah membeli pelbagai barangan keperluan asas,” katanya yang membelanjakan RM300 dari SARA semalam.

Abd Samat berharap inisiatif SARA ‘one-off’ diteruskan secara berkala.

Sementara itu, Abd Samat Yusof 65, turut menarik nafas lega dengan pemberian bantuan khas yang diberikan itu.

“Syukur bantuan ini memang meringankan beban kami sekeluarga yang selama ini terkesan dengan peningkatan ketara harga barangan.

“Saya harap program ini akan diteruskan sekali atau dua kali setahun bagi meningkatkan kuasa beli rakyat sekali gus meningkatkan ekonomi negara,” jelasnya yang turut menerima bantuan SARA secara bulanan.

Pada 23 Julai lepas, Anwar mengumumkan warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas turut menerima bantuan SARA RM100 sekali beri.

Melalui program SARA, penerima boleh berbelanja barang keperluan asas yang tersenarai dalam 14 kategori di lebih 4,600 kedai di seluruh negara bermula 31 Ogos hingga 31 Disember nanti.

-RI

Tinggalkan komen anda