
Laporan/foto: Amiruddin Adli Ishak
KUALA TERENGGANU, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Suasana penuh warna-warni dan semangat kebangsaan mewarnai Jiwa Komuniti MADANI Fun Walk Merdeka Berkain Batik yang berlangsung di Rumah Komuniti Teratak Desa Gong Baru, di sini kelmarin.

Kanak-kanak memperagakan pakaian berkonsepkan Jalur Gemilang dalam Pertandingan Pakaian Merdeka yang mencuri tumpuan pengunjung.
Program anjuran Komuniti MADANI Gong Baru dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu serta Kasut U itu berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan, antaranya pertandingan bersajak dan pakaian merdeka kanak-kanak, sesi fun walk (berjalan ceria) berkain batik, cabutan bertuah serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Pemenang Pertandingan Pakaian Merdeka menerima hadiah daripada penganjur sebagai penghargaan penyertaan dan semangat patriotik.
Ketua Komuniti MADANI Gong Baru Mohd Hanafiah Ismail, berkata program tersebut bukan sahaja menghidupkan semangat patriotisme, malah menjadi platform memperkukuh silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Program ini bukan sahaja meraikan kemerdekaan dengan penuh semangat, malah turut mendidik masyarakat menghargai warisan budaya seperti pemakaian batik yang menjadi identiti kebangsaan,” ujarnya.
Mohd Hanafiah berharap penganjuran tersebut dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat serta memperkukuh nilai kebersamaan sejajar dengan hasrat Malaysia MADANI.
-RI





