Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

11 Pelajar PPKI Sertai Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku

By 9 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Abassalimi Mohamad (Johor)

BATU PAHAT, 9 Okt (MalaysiaAktif) — Seramai 11 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa di sini, teruja menyertai Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), semalam.

Pelajar-pelajar berkenaan mengikuti pengisian program dengan bantuan terjemahan bahasa isyarat oleh guru PPKI, Nur Syafinnas Srafi, bagi memastikan maklumat dapat difahami dengan lebih berkesan.

Gan Zheng You, 16, pelajar PPKI, gembira sertai PENTARAMA dan pelajari ilmu keselamatan internet.

Salah seorang pelajar, Gan Zheng You, 16, berkata beliau berasa amat gembira kerana berpeluang menyertai program berkenaan yang disifatkan sebagai satu pengalaman baharu dan menyeronokkan.

“Saya seronok dapat menyertai program ini. Banyak ilmu baharu saya pelajari, terutama tentang keselamatan internet.

“Ini juga kali pertama saya melihat persembahan PENTARAMA daripada Jabatan Penerangan Malaysia di sekolah kami,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif.

Program anjuran JAPEN itu bertujuan menyampaikan maklumat rasmi kerajaan kepada masyarakat, khususnya golongan muda, melalui pendekatan hiburan santai dan interaktif.

Seramai 11 pelajar PPKI SMK Dato’ Syed Esa sertai Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku dengan bimbingan guru bahasa isyarat.

Program berkonsepkan hiburan santai dan interaktif itu turut menampilkan kuiz interaktif, Taklimat Kempen Internet Selamat (KIS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pertunjukan fesyen tradisional ASEAN, serta persembahan artis PENTARAMA.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram Gan Peck Cheng, Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor, dan Pengetua SMK Dato’ Syed Esa Mohd Khir Muda.

-FN

Tinggalkan komen anda