Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

150 Penerima Gembira Terima Sumbangan Sempena Deepavali 2025

By 6 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurulaini/ Yusof (Kulai)

KULAI, 6 Okt (Malaysia Aktif) – Seramai 150 penerima sumbangan Deepavali diraikan dalam program Jalinan Mesra Deepavali – Aspirasi Kerjaya Komuniti Kulai yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Aman, Senai, semalam.

Teo Nie Ching menyempurnakan gimik perasmian Program Jalinan Mesra Deepavali

Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, menzahirkan komitmen untuk terus membela nasib masyarakat India melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan.

Beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada 150 penerima bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali tahun ini.

Sesi bergambar bersama penerima sumbangan

“Sebagai sebuah negara majmuk, saya amat mengambil berat terhadap keperluan setiap kaum tanpa mengira latar belakang. Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut perayaan,” ujar beliau.

Salah seorang penerima sumbangan, Jayaindran Sinnayah, 62, meluahkan rasa gembira atas keprihatinan wakil rakyat terhadap masyarakat India di kawasan tersebut.

“Saya berterima kasih atas sumbangan ini. Wang sebanyak RM100 yang diterima akan saya gunakan untuk membeli barangan keperluan sempena Deepavali,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Program anjuran Pejabat Parlimen Kulai dengan kerjasama Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (IMAIYAM) turut menampilkan ceramah kerjaya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan IMAIYAM, serta perkongsian daripada pihak Shopee mengenai peluang menjadi usahawan atas talian (Seller Onboarding).

Turut diadakan kaunter bergerak pelbagai agensi termasuk SPA dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Jualan Rahmah oleh Pasaraya Hwa Tai bagi kemudahan penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah.

Majlis diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Deepavali oleh Teo Nie Ching yang berharap sambutan tersebut menjadi simbol perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat di Kulai.

-AA-

Tinggalkan komen anda