
Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 589 penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat menerima manfaat menerusi Program Bantuan Inisiatif Kerajaan Negeri Johor Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat.

Golongan ibu tunggal turut menerima Bantuan Inisiatif Kerajaan Negeri Johor Dun Tanjung Surat Tahun 2025.
Majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, di sini semalam disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Aznan Tamin.
“Kerajaan Negeri Johor sentiasa peka terhadap keperluan rakyat. Program ini bertujuan meringankan beban yang ditanggung rakyat dan memastikan hasil negeri dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan,” ujarnya.
Bantuan tunai secara sekali beri bernilai antara RM200 hingga RM300 disalurkan merangkumi tiga kategori utama penerima, iaitu 220 ibu tunggal menerima RM300 seorang berjumlah RM66,000, 133 pekerja gig (E-Hailing dan P-Hailing) menerima RM200 seorang dengan jumlah keseluruhan RM26,600, serta 219 warga emas turut menerima RM200 seorang melibatkan jumlah keseluruhan RM43,800.

Aznan Tamin menyampaikan Bantuan Inisiatif Kerajaan Negeri Johor kepada warga emas.
Salah seorang penerima bantuan, Chong Keng @ Chong Swee Long, 69, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan warga emas.
“Saya amat berterima kasih atas bantuan yang diterima sebanyak RM200 ini. Ia akan saya gunakan untuk membeli barang keperluan harian. Diharapkan program seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Fikri Yusoff, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) Hanafi Jantan, Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi Mohd Nasharuddin Mohd Shah dan Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Daerah Kota Tinggi Mohd Saiful Hafiz Amiti.
-RI





