Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kesedaran Awal Siber Penting Bentuk Pengguna Bijak

By 10 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Fasharina Kholil/ Mohamad Nor Eman Abd Latif (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 100 murid sekolah rendah dan menengah sekitar Pengkalan Hulu di sini menyertai Program Kempen Internet Selamat kelmarin, bertujuan mendidik generasi muda mengenai penggunaan internet secara berhemah dan bertanggungjawab.

Seorang peserta daripada setiap sekolah yang terlibat turut dilantik sebagai Duta Kempen Internet Selamat

Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Perak Muhammad Zulhilmi Zolkifly berkata program di Dewan Felda Lepang Nenering itu penting bagi membentuk kesedaran awal tentang bahaya penyalahgunaan media sosial dan pendedahan kepada aktiviti jenayah siber serta buli siber.

“Dalam era digital kini, pendedahan awal kepada keselamatan siber amat penting supaya anak-anak kita dapat menjadi pengguna internet yang bijak dan bertanggungjawab.

“Menerusi kempen ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai internet selamat dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan usaha kerajaan memupuk masyarakat celik digital dan beretika,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran murid mengenai pendidikan digital

Beliau berkata antara slot utama program tersebut adalah ceramah kesedaran siber, kuiz keselamatan internet dan simulasi situasi dunia maya yang diisi dengan aktiviti interaktif dan permainan pendidikan digital.

Katanya, peserta turut dididik mengenai kepentingan menjaga privasi dan maklumat diri dalam talian serta cara melaporkan kandungan tidak selamat.

-AA-

Tinggalkan komen anda