Skip to main content
Berita TempatanRencana & Pendapat

Bukit Batu Selabat Tarikan Baharu Pencinta Aktiviti Lasak

By 27 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Betti Anggreani Sukoria (Sarawak)

KUCHING, 27 Okt (Malaysia Aktif) – Terletak di Kampung Selabat, Muara Tebas kira-kira 20 hingga 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuching Bukit Batu Selabat kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pencinta alam dan aktiviti lasak.

Walaupun hanya berketinggian sekitar 220 meter dari paras laut, perjalanan ke puncak bukit yang mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam menjanjikan pengalaman mendaki yang mencabar dan menyeronokkan.

Pemandangan indah dan menakjubkan ketika berada di puncak Bukit Batu Selabat.

Formasi Batu Unik, Daya Tarikan Utama

Keistimewaan Bukit Batu Selabat terletak pada formasi batu-batu besar (boulder) yang berselerak di kawasan sekitar puncak, membentuk rupa seakan ‘otak yang mengeras’  menjadikan landskapnya unik dan menarik untuk diterokai.

Laluan pendakian boleh dianggap sederhana, namun bahagian akhir sebelum tiba di puncak memerlukan kekuatan fizikal dan mental apabila pendaki perlu menggunakan tali dan memanjat batu-batu curam. Cabaran ini menjadikan pengalaman mendaki lebih mendebarkan, namun penuh kepuasan apabila tiba di puncak.

Panorama 360 Darjah yang Memukau

Setibanya di puncak, para pendaki disajikan dengan pemandangan 360 darjah yang menakjubkan meliputi Laut China Selatan, Taman Negara Bako, Muara Tebas serta kawasan dataran di sekitarnya.

Sama seperti bukit-bukit lain yang menjadi tumpuan pelancong, Bukit Batu Selabat turut popular sebagai lokasi terbaik untuk menyaksikan matahari terbit dan terbenam, malah kadangkala memperlihatkan fenomena lautan awan yang muncul pada awal pagi.

Pengalaman Pendaki: Penat Hilang, Indah yang Tersingkap

Bagi Zanah Ahmad, 39, antara pendaki yang berjaya menawan puncak bukit ini, pengalaman di Bukit Batu Selabat benar-benar tidak disangka. “Bukit ini tidaklah terlalu tinggi, namun pemandangan dari puncaknya amat menakjubkan. Hilang terus rasa penat apabila melihat keindahan matahari terbenam dari sini,” katanya ketika berkongsi pengalaman bersama penulis.

Berjaya menawan- Zanah Ahmad ketika berada di puncak Bukit Batu Selabat.

Menurut Zanah, cabaran sebenar terletak pada bahagian terakhir pendakian yang memerlukan pendaki memanjat di celah-celah batu besar dengan bantuan tali.

“Ia menuntut kekuatan dan tumpuan, tetapi dengan bantuan komuniti tempatan serta tali yang disediakan, bukit ini masih boleh ditawan oleh mereka yang biasa bersenam. Yang penting, pastikan memakai kasut sesuai, sentiasa fokus dan berhati-hati dengan batu yang licin,” tambahnya.

Potensi Eko Pelancongan Baharu

Dengan gabungan keindahan semula jadi, cabaran fizikal dan panorama yang memukau, Bukit Batu Selabat mempunyai potensi besar sebagai destinasi ekopelancongan utama di sekitar Kuching.

Peranan komuniti tempatan juga amat penting dalam menarik kehadiran pengunjung melalui sikap mesra, prihatin terhadap keselamatan, serta komitmen mereka dalam menjaga kebersihan kawasan tersebut.

Perlu kasut dan pakaian yang bersesuaian kerana keadaan batu yang licin ketika pendakian ke puncak Bukit Batu Selabat.

Tip Buat Pendaki

Bagi yang berhasrat menawan puncak Bukit Batu Selabat, disarankan untuk memulakan pendakian pada awal pagi bagi menikmati suasana segar dan mengelakkan cuaca panas. Bawa bekalan air yang mencukupi, pakaian sesuai serta semangat ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Bukit Batu Selabat bukan sekadar destinasi mendaki, tetapi simbol kepada keindahan landskap Sarawak yang masih terpelihara  menanti untuk terus diterokai dan dihargai oleh pencinta alam.

-RJ-

Tinggalkan komen anda