Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kebudayaan, Kehalusan Seni Diplomatik Jadi ‘Senjata Luar Biasa’ Negara – Fahmi

By 27 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Malaysia mempunyai ‘senjata luar biasa’ dalam mengekalkan hubungan baik dan mesra dengan negara-negara luar, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

“Kita tidak ada peralatan ketenteraan yang besar. Kita sebuah negara yang kecil. Tetapi kita ada satu superweapon (senjata luar biasa) iaitu kebudayaan dan kehalusan seni diplomatik kita.

“Jadi, kita lihat salah satu daripada superpower (kekuatan luar biasa) Malaysia sebenarnya adalah kehalusan seni diplomatik. Tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung tidak berselerak. Itulah keupayaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Dewan Serbaguna Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Tambahnya adalah sangat jarang berlaku di mana pemimpin negara dijemput untuk bersama menaiki kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump iaitu Cadillac One ataupun The Beast menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, lokasi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN.

“Presiden Trump telah ketepikan protokol, termasuk aspek keselamatan, menjemput Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bersama dan dalam perjalanan dari Kompleks Bunga Raya ke KLCC, beberapa perkara telah dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, Bernama pada semalam melaporkan Trump mengulangi komitmen penuh Washington kepada Asia Tenggara dengan menjanjikan kerjasama yang kukuh dan berpanjangan di bawah apa yang disifatkan beliau sebagai ‘zaman keemasan Amerika’.

Hari ini, Trump dalam catatan Truth Social miliknya berkata AS telah menandatangani perjanjian perdagangan dan nadir bumi yang penting dengan Malaysia.

Trump turut menganggap Malaysia sebagai ‘negara hebat, sangat bertenaga’ selepas menamatkan lawatan dua hari di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menghimpunkan ribuan delegasi dari pelbagai negara bagi memperkukuh kerjasama dan membina masa depan ASEAN yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

-RI

Tinggalkan komen anda