
Laporan/ foto: Saufi Ab Ghani/ Noor Haswan Noor Azman.
PASIR MAS, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah menganjurkan Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas sebagai salah satu inisiatif mendekati murid sekolah menengah khususnya ahli-ahli Kelab Malaysiaku, di sini semalam.

Pelajar sekolah menggayakan pakaian tradisional mengikut kaum
Program ini akan diteruskan di tiga buah sekolah terpilih di Kelantan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong Pasir Mas, Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat Tumpat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (C) Chung Hwa Kota Bharu bermula 26 sehingga 28 Oktober ini.
Menurut Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Muhd. Nor Aswadi Md. Nor, program ini merupakan satu inisiatif dalam menyampaikan mesej kenegaraan kepada pelajar sekolah melalui program hiburan bermaklumat.

Kemeriahan suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat Tumpat
“Program sebegini juga mampu memberi penjelasan serta kefahaman mengenai manfaat pelaksanaan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Belanjawan 2026 serta Kepengerusian ASEAN.
“Pada kali ini, program ini melibatkan kira-kira 4000 pelajar dari empat buah sekolah yang terdiri dari tingkatan satu hingga tingkatan enam. Dari pengamatan saya keterlibatan pelajar dan cara mereka berinteraksi dengan pengendali acara sangat positif secara tidak langsung menzahirkan keterujaan pelajar untuk turut serta dalam program ini,” katanya.
Tambah beliau, pada masa akan datang, Kelab Malaysiaku dari sekolah lain akan dipilih sebagai lokasi program agar mesej berkenaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dapat diperluaskan kepada golongan muda bakal pelapis kepimpinan negara.
Turut diadakan taklimat Kempen Internet Selamat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
-AA-





