
Laporan/ foto : Mohamad Norhasmin Mohd Nor (Sarawak)
SIBU, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 1,114 calon dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka berjaya memperoleh lesen motosikal Kelas B2 melalui Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 (MyLesen).
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi berkata program itu sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan rakyat memiliki akses kepada lesen memandu yang sah dan mampu milik.

Peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 (MyLesen) merakam foto beramai-ramai bersama tetamu kehormat.
“Program MyLesen bukan sahaja membuka peluang kepada belia untuk mendapatkan lesen secara sah dan selamat, malah pemilikan lesen menjadi pemangkin penting dalam kehidupan seharian serta membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya sewaktu berucap merasmikan majlis di Dewan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) semalam.
Tambah beliau, usaha itu juga bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030.

Khairul Ikhwan Abdul Rahim (tiga kanan) memenangi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal.
Beliau turut menyeru semua penerima lesen menjadi duta jalan raya yang berdisiplin dan mematuhi undang-undang demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norazlan Ibrahim, wakil Residen Bahagian Sibu Maria Nadja Jimmy Jalil, Ketua Cawangan JPJ Sibu Nurul Fairiezzah Safri dan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu ASP Makkaranu Bedu.
Program MyLesen merupakan inisiatif di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah, khususnya kumpulan B40, dengan menawarkan bantuan mendapatkan lesen motosikal Kelas B2 pada kos minimum.
-RJ





