Skip to main content
Berita TempatanSabah

Centrics Band Juara Best Band di Festival Belia Penampang

By 27 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Centrics Band (Penampang)

PENAMPANG , 27 Okt (MalaysiaAktif) – Kejayaan Centrics Band meraih gelaran Best Band pada Festival Belia Penampang 2025 membuktikan bahawa bakat dan potensi anak muda Sabah wajar diberikan ruang untuk terus berkembang ke peringkat lebih tinggi.

Pengurus band, Silvia S. Kennedy, 35, berkata, kumpulan tersebut ditubuhkan pada tahun 2023 dan dianggotai oleh murid-murid yang merupakan ahli Kelab Pemuzik Muda di Kota Kinabalu High School, di mana beliau turut berperanan sebagai ketua penasihat.

Silvia (berbaju merah) merakam gambar kenangan bersama kumpulan Centrics Band.

“Setiap tahun saya menganjurkan Mini Konsert Pemuzik Muda di sekolah dan dari situ saya melihat potensi mereka untuk pergi lebih jauh.

“Penyertaan Centrics Band dalam Festival Belia Penampang merupakan kesinambungan daripada kejayaan mereka mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu dalam Pertandingan Simfoni Tradisional Peringkat Negeri Sabah pada Ogos 2025, di mana mereka berjaya meraih tempat ketiga.

“Apabila melihat iklan Festival Belia Penampang, saya menggalakkan mereka untuk menyertai pertandingan ini, dan mereka sendiri menunjukkan semangat serta kesediaan untuk mencuba,” katanya ketika ditemui semasa Festival Belia Penampang di sini, pada Sabtu.

Beliau juga menegaskan bahawa platform seperti Festival Belia Penampang amat penting dalam membuka peluang kepada belia untuk menyerlahkan bakat dalam pelbagai bidang seni persembahan.

“Program seperti ini bukan sahaja menguji kebolehan anak muda dalam bidang muzik, nyanyian dan tarian, tetapi turut membentuk keyakinan diri serta semangat berpasukan,” tambahnya.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Silvia melahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan mutu persembahan yang ditampilkan oleh kumpulan bimbingannya itu.

Centrics Band membuat persembahan bertenaga di pentas utama Festival Belia Penampang 2025.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan mereka dan berterima kasih kepada barisan juri yang adil serta profesional dalam membuat penilaian,”ujarnya.

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan, Joshua Huang, 16, turut menzahirkan rasa syukur dan teruja atas kejayaan yang dicapai.

“Bangga dan bersyukur kerana walaupun kali pertama menyertai Festival Belia Penampang dengan perasaan gementar, tidak sangka berjaya meraih kemenangan yang memberi pengalaman bermakna serta dorongan untuk terus berkarya,” kongsinya.

Untuk makluman, festival ini mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita, dengan kehadiran kira-kira 800 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran dari 25 hingga 26 Oktober.

-RJ-

Tinggalkan komen anda