
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Ow Yeang Khang Ting (Kedah)
JITRA, 28 Okt (MalaysiaAktif) – Mini Food Fest 2025 anjuran Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) berjaya memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.

Baju terpakai turut dijual dalam Mini Food Fest 2025.
Program yang berlangsung semalam di perkarangan kolej itu disertai seramai 88 pelajar Semester 3 daripada Program Teknologi Automotif dan Program Teknologi Senibina, yang mengendalikan sembilan khemah jualan menawarkan pelbagai juadah menarik hasil kreativiti masing-masing.
Menurut Pengarah KKBDA, Salmiyah Che Ahmad penganjuran festival berkenaan menjadi medan penting untuk pelajar mengaplikasikan kemahiran keusahawanan secara praktikal melalui konsep Doing Business While Studying (DBWS).
“Pendekatan ini membantu pelajar memperkukuh kemahiran komunikasi, pengurusan masa dan daya tahan dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan sebenar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti sedemikian mampu melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif dan bersedia menjadi usahawan muda selepas menamatkan pengajian.

Perkhidmatan gunting rambut juga turut disediakan oleh para pelajar KKBDA.
Sementara itu, Ketua Unit Keusahawanan KKBDA, Rahanita Abd. Rahman berkata Mini Food Fest diadakan pada setiap semester sebagai salah satu inisiatif memperkasakan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.
“Usaha ini sejajar dengan aspirasi TVET sebagai pilihan utama kerjaya, selain memperkukuh kemahiran insaniah dan nilai keusahawanan dalam diri pelajar,” katanya.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama Unit Keusahawanan, Unit Pengajian Am dan Unit Pembangunan Pelajar KKBDA yang menjadi platform berkesan untuk melatih pelajar dalam aspek kepimpinan, kerja berpasukan serta pengurusan perniagaan sebenar.
-RI





