
Laporan/foto: Rafidawati binti Mohd.Taip@Muktar/R. Fauzi bin Abdul Lahab (Sandakan)
SANDAKAN, 25 Okt (MalaysiaAktif)– Program Cerita-Cerita Dulu Bah Bersama Komuniti Madani dilihat mampu diperkasakan sebagai platform untuk agensi kerajaan menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan yang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar.
Di samping menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat, program yang dianjurkan Jabatan Penerangan ini turut menyediakan perkhidmatan komuniti secara percuma kepada penduduk menerusi saringan kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Edaran bahan penerbitan kepada penduduk kampung yang menghadiri Program Cerita-Cerita Dulu Bah Bersama Komuniti Madani.
Setiausaha Komuniti Madani Kg. Kitagas, Yusuf Mohamad, 28, berkata, penganjuran program ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat mengetahui program-program di setiap agensi untuk manfaat golongan sasar.
“Kami di Komuniti Madani Kg. Kitagas amat berbesar hati dengan sambutan penduduk terhadap program ini yang mana bukan sekadar hiburan, tetapi platform untuk berkongsi ilmu dan menyampaikan maklumat rasmi kerajaan secara dekat kepada rakyat.
“Terima kasih kepada semua agensi terlibat atas kerjasama yang sangat baik, saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat luar bandar terus mendapat akses kepada maklumat dan peluang pembangunan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan di Kampung Kitagas di sini kelmarin.
Sementara itu, penduduk Kampung Kitagas, Rosnah Lajuma, 52, berkata, maklumat yang disampaikan terutama mengenai Belanjawan 2026 disampaikan dengan jelas dan teliti agar mudah difahami oleh penduduk kampung yang hadir.
“Mewakili Penduduk Kampung Kitagas, kami bersyukur atas penganjuran program ini yang memberi manfaat besar kepada penduduk, program ini sangat bermanfaat terutama Taklimat Bajet 2026 yang banyak membuka mata kami tentang bantuan dan inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan,” jelasnya.

Taklimat Belanjawan 2026 disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Sandakan, Abdul Aziz Abdul Karim.
Selain menjelaskan hala tuju Belanjawan 2026 termasuk inisiatif bantuan kepada golongan B40, pelaburan pembangunan luar bandar serta sokongan kepada ekonomi tempatan, penduduk turut berkesempatan untuk mendengar perkongsian daripada Jabatan Perhutanan.
Antaranya mengenai kepentingan menjaga khazanah hutan dan peranan masyarakat dalam memelihara ekosistem semula jadi dalam masa yang sama mengadakan sesi dialog bersama komuniti, bagi penduduk mengemukakan pandangan serta isu tempatan kepada wakil jabatan kerajaan.
-RJ-





