
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)
CHANGLUN, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Dusun Riffaa muncul sebagai destinasi santai berkonsepkan alam semula jadi di Changlun yang semakin mendapat perhatian pengunjung kerana keunikan suasana dusun tropikanya yang menawarkan ketenangan, keindahan serta pengalaman menjamu selera dalam persekitaran hijau yang mendamaikan.

Laksa Siam antara menu yang disajikan di Dusun Riffaa.
Menariknya, Dusun Riffaa bukan sekadar tempat makan, tetapi juga sebagai ruang rekreasi yang menenangkan jiwa.
Suasana dusun yang dipenuhi rimbunan pokok buah-buahan serta aliran anak sungai kecil menjadikannya lokasi ideal untuk keluarga, pasangan mahupun kumpulan rakan yang ingin melepaskan penat seharian bekerja.
Menurut pengunjung, Nor Diana Raszali, 35, suasana di Dusun Riffaa memberikan pengalaman berbeza berbanding tempat makan biasa kerana gabungan panorama alam semula jadi dengan citarasa makanan tempatan dan ala Thai yang menyelerakan.
“Kami datang bersama keluarga dan sangat menikmati suasana di sini. Anak-anak boleh mandi di sungai, manakala kami menikmati hidangan dalam suasana tenang dan nyaman. Memang rasa seperti berada di kawasan peranginan,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Terdapat juga jualan daripada vendor-vendor.
Antara menu popular yang menjadi tarikan utama termasuk miang pla (ikan siakap gulung daun selada dengan sos istimewa), daging bakar Dannok, tomyam, bihun sup, laksa dan rojak yang semuanya dihidangkan dalam suasana terbuka berlatarkan kehijauan semula jadi.
Selain menikmati hidangan, pengunjung juga boleh beriadah bersama keluarga di kawasan sungai cetek berhampiran, bergambar di sudut menarik sekitar dusun, atau mencuba aktiviti ringan seperti menunggang kenderaan semua medan (ATV) mengelilingi kawasan hijau tersebut.
Suasana yang damai dan pemandangan yang memukau menjadikan Dusun Riffaa pilihan tepat bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman seakan-akan berada di resort alam semula jadi yang hanya beberapa minit dari pekan Changlun dan berdekatan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM).
-RI





