Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

67 Penduduk Kampung Durian Daun, Kampung Pilim Terima Bantuan Anak Pokok

By 23 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Syafiq Kamaruzzaman (Rembau)

REMBAU, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 67 penduduk daripada Kampung Durian Daun dan Kampung Pilim telah menerima bantuan anak pokok buah terpilih, baja serta peralatan asas pertanian di Balai Raya Kampung Durian Daun, semalam.

Ia merupakan sebagai pengisian awal kepada pelaksanaan Inisiatif Touch Point Buah-Buahan di bawah Belanjawan Negeri Sembilan 2025.

Sesi bergambar bersama penerima bantuan anak pokok daripada Kampung Durian Daun dan Kampung Pilin.

Program yang turut diadakan bersempena Program Jiwa Komuniti MADANI Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Daun itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.

Zaifulbahri dalam ucapannya berkata program itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh ekonomi rakyat melalui sektor pertanian. Diharapkan para penerima dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan menjadi contoh kepada komuniti setempat,” katanya.

Pegawai Pertanian Daerah Rembau Fatimah Ahmad berkata program itu bukan sahaja bertujuan memberi galakan kepada masyarakat untuk bercucuk tanam, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh ekonomi isi rumah luar bandar.

Sebahagian penerima bantuan anak pokok daripada Kampung Durian Daun dan Kampung Pilin hadir ke program edaran anak pokok.

“Kami berharap penerima dapat menjaga dan memanfaatkan anak pokok yang diterima ini dengan sebaiknya. Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, hasil tanaman ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan sampingan, tetapi juga menyumbang kepada keterjaminan makanan di peringkat komuniti,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Inisiatif berkenaan menyokong hasrat kerajaan Negeri Sembilan untuk meningkatkan keterjaminan makanan, menggalakkan penghijauan serta memupuk minat masyarakat terhadap bidang pertanian sebagai peluang ekonomi baharu yang berdaya maju.

-RI

Tinggalkan komen anda