
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Usaha kerajaan negeri Johor dalam memperkukuh agenda pembangunan inklusif terus diterjemah menerusi pelaksanaan Program Perkasa Masyarakat Orang Asli.
Program yang diadakan di sini semalam itu menyaksikan seramai 223 masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar menerima manfaat insiatif.

Fauziah Misri menyerahkan bantuan tunai sekali beri sebanyak RM200 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli dan Bakul Kasih Johor.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri berkata inisiatif tersebut merupakan manifestasi keprihatinan berterusan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memastikan komuniti Orang Asli tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
“Program ini dirangka khusus bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dan daya saing komuniti Orang Asli, selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Menurutnya sebanyak sembilan inisiatif dikhususkan di bawah program itu termasuk bantuan tunai sekali beri RM200 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli, bantuan khas RM300 kepada Tok Batin, pemberian komputer riba kepada pelajar di institusi pengajian tinggi serta geran RM10,000 kepada masjid dan surau.

223 penerima Inisiatif Memperkasa Masyarakat Orang Asli DUN Penawar.
Turut diperuntukkan ialah Geran Pengurusan dan Pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) sebanyak RM10,000 serta sumbangan RM20,000 bagi kerja baik pulih dan menaik taraf kemudahan sukan.
Penerima bantuan, Yahya Mohd Yusof, 64, dari Kampung Orang Asli Sungai Layau menzahirkan rasa syukur atas perhatian kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Johor atas bantuan ini. Ia membantu kami meringankan beban dalam mendepani kos sara hidup kini,” katanya.
Turut hadir Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Kota Tinggi Mohd Fadhil Khosnan, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Layau Ramli Nekmat, Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang Syed Ben Bella Syed Agil Al-Habshe serta Pengurus Felcra Sungai Layau Mohd Amrullah Che Selimi.
-RI





