Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Empat Sekawan Hidupkan Nostalgia Era 70 dan 80-an di Kampung Ulu Sedaka

By 13 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus (Yan)

YAN, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Suasana penuh nostalgia era 1970-an dan 1980-an kembali menghidupkan kenangan lama di kawasan sawah padi Kampung Ulu Sedaka, di sini apabila empat sekawan tempatan menzahirkan idea kreatif dengan menubuhkan lokasi santai berkonsepkan retro dikenali sebagai ‘Kopi Waktu’.

Mohd Zulmajdi Hafiz Ahmad, 34, atau lebih dikenali sebagai Hafiz bersama Anas Adham Abdullah, 34, Ahmad Shahir Md Desa, 43, dan Mohd Iqbal Md Desa, 31, menyediakan kopi ‘O’ panas, biskut kering dan roti bakar secara percuma kepada pengunjung pada setiap hari Ahad bermula 5 petang hingga 7 malam di lokasi berlatarkan panorama indah Gunung Jerai itu.

Pengungjung membanjiri kawasan tengah sawah padi di Kampung Ulu Sedaka, Yan.

Menurut Hafiz, inisiatif berkenaan bermula daripada minatnya terhadap muzik klasik dan suasana kampung yang mendamaikan.

“Alhamdulillah, sudah hampir tiga bulan ‘Kopi Waktu’ mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai selepas kami berkongsi suasana santai ini di media sosial, khususnya TikTok.

“Malah, saya juga telah menghasilkan lagu bertajuk ‘Kopi Waktu, Secawan di Tengah Suasana’ dan beberapa cenderamata hasil rekaan sendiri,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Bagi menampung kos bahan seperti biskut, kopi, gula dan roti, mereka menyediakan tabung sumbangan ikhlas yang turut mendapat sokongan penduduk kampung yang tidak putus memberi pelbagai jenis makanan untuk dihidangkan kepada para pengunjung.

Program mingguan itu turut mendapat sokongan daripada Kilang Kopi Cap Raga, Kelab Motosikal Klasik Kedah dan Kelab Honda Cup Alor Setar.

Kerjasama itu menjadikan suasana di ‘Kopi Waktu’ lebih meriah dengan kehadiran peminat motosikal klasik dan pengunjung yang datang bergambar bersama koleksi motor antik berusia lebih 50 tahun yang masih digunakan tanpa sebarang ubah suai.

Salah sorang wanita berpakaian retro menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar bersama.

Selain menjadi tempat menjamu selera dan bersantai, ‘Kopi Waktu’ turut menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

“Kami ingin mengembalikan memori indah zaman 70-an dan 80-an lengkap dengan gaya pakaian ‘bell-bottom’ dan muzik klasik yang pernah menjadi lambang kegembiraan masyarakat dahulu.

“Harapan saya ialah masyarakat dapat bersatu padu dalam apa jua situasi tanpa mengira pangkat, darjat mahupun agama. Itulah yang kami cuba wujudkan di ‘Kopi Waktu’, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah,” katanya yang berharap agar suasana nostalgia itu dapat diteruskan oleh generasi muda..

‘Kopi Waktu’ bukan sekadar tempat menikmati kopi, tetapi simbol semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap warisan budaya lama yang terus disemai di tengah sawah nan hijau, menghubungkan kenangan silam dengan kehangatan masa kini.

-RI

Tinggalkan komen anda