
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Mohd Shahril Alias (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Program Perpatih Fest melabuhkan tirainya semalam dengan kehadiran melebihi jangkaan, apabila seramai 23,744 pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjuran sejak 10 Oktober lalu di Muzium Negeri, di sini.
Selain kehadiran secara fizikal, program itu turut mencatat 195,400 tontonan dalam talian, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap festival yang mengetengahkan keunikan Adat Perpatih yang merupakan warisan budaya yang hanya terdapat di Negeri Sembilan.

Mohd Faizal berucap merasmikan Majlis Penutup Perpatih Fest.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli, berkata festival tersebut bukan sekadar menarik kedatangan pelancong, malah berperanan penting dalam memelihara dan memperkenalkan warisan Adat Perpatih kepada generasi baharu.
“Perpatih Fest bukan hanya bertujuan menarik kedatangan pelancong, terutamanya dari luar negara, tetapi berjaya menonjolkan keunikan budaya dan amalan Adat Perpatih yang telah diamalkan sejak ratusan tahun lalu.
“Adat ini turut menjadi wadah tempat luak-luak beradat berkumpul bagi mengeratkan silaturahim dan memastikan adat yang menjadi pegangan selama ini terus bertahan seiring arus kemodenan,” katanya.
Salah seorang pempamer, Norzahidah Abd Rahman, 50, berkata penganjuran Perpatih Fest wajar diteruskan setiap tahun.

Antara Dato-Dato penyandang pusaka adat yang hadir.
“Elok diadakan setiap tahun, cuma perlu sedikit penambahbaikan, lebih-lebih lagi tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026,” katanya.
Dalam majlis sama, kain songket bermotifkan ‘Bunga Lado’ turut dilancarkan sebagai simbol identiti baharu Negeri Sembilan.
Turut hadir pada majlis perasmian penutup ialah Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip, dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Datin Paduka Hazlina Jalil.
-RI





