Skip to main content
Berita TempatanSabah

Festival Belia Penampang 2025 Serlah Bakat dan Semangat Keusahawanan Anak Muda

By 29 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/SCREIMO (Penampang)

PENAMPANG, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Festival Belia Penampang 2025 menjadi platform menyatupadukan belia di samping menyerlahkan bakat, kreativiti dan semangat keusahawanan kelompok berkenaan.

Pengerusi Sabah creative and innovation movement (SCREIMO), Chester Sinidol, 50, berkata pelbagai pertandingan diadakan juga sebagai platform memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan perpaduan komuniti dalam kalangan belia.

Chester Sinidol bersama barisan ahli Sabah Creative and Innovation Movement, Urusetia Festival Belia Penampang 2025.

“Antaranya Youth Talent Contest yang disertai 20 peserta menampilkan bakat dalam seni muzik, tarian dan persembahan, manakala 12 peserta Silat Gayung Fatani memperlihatkan kemahiran budaya serta seni pertahanan diri tambahan lapan kumpulan band dengan penyertaan 40 ahli turut memeriahkan pentas muzik tempatan.

“Dari segi keusahawanan, Bazar Perniagaan Usahawan Kecil Belia Sabah menyediakan 40 lot tapak jualan bagi membolehkan belia memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara langsung kepada pengunjung, selain memperluas jaringan pelanggan,” katanya ketika ditemui semasa Festival Belia Penampang 2025 di sini, pada Ahad.

Antara suasana meriah sepanjang penganjuran Festival Belia Penampang 2025 di Penampang, Sabah.

Dalam pada itu, Chester berharap acara tersebut akan terus diperkasa sebagai medium untuk meningkatkan kemahiran belia menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dan agensi berkepentingan.

“Saya berharap dengan adanya penambahan penyertaan daripada belia, festival ini akan memperkukuh usahawan muda dan memperluas peluang bakat baharu melalui promosi digital, penglibatan komuniti, serta sokongan agensi dan korporat, sambil menjadikan festival ini acara tahunan tetap,” ujarnya.

Untuk makluman, festival selama dua hari ini menerima kunjungan sekitar 800 orang pengunjung dengan mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda