Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Abang Chin Ikon Padi Negara, Pelopor Pertanian Moden Berteknologi Tinggi

By 29 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Syafiq Md Saad (Kubang Pasu)

JITRA, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Ketekunan dan semangat inovatif pesawah tempatan, Jaafar Zakaria atau lebih dikenali sebagai Abang Chin, melayakkan beliau diiktiraf sebagai Ikon Padi Negara atas sumbangan besarnya dalam memperkasa sektor penanaman padi melalui pendekatan moden dan penggunaan teknologi berimpak tinggi.

Abang Chin sedang memberi taklimat penjagaan padi kepada peserta program.

Dikenali sebagai pesawah berdedikasi, Abang Chin, 52, membuktikan bahawa bidang pertanian mampu menjadi industri moden yang menjanjikan pulangan lumayan sekiranya diurus dengan pengetahuan dan teknologi terkini.

Bermula sebagai pesawah kecil, beliau kini mengusahakan ladang padi berteknologi tinggi dengan menggabungkan kaedah tradisional dan moden seperti penggunaan dron, sistem pengairan pintar serta baja berformula khas.

Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan hasil tuaian, malah membantu menjimatkan kos dan masa pengeluaran.

Timbalan Pengurus Wilayah II (Pertanian) Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah II (Jitra) Anuar Mohamed Noor berkata kejayaan Abang Chin menjadi contoh terbaik pesawah moden yang memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

“Beliau bukan sahaja berjaya mengubah pendekatan pertanian konvensional kepada sistem moden, malah menjadi sumber inspirasi kepada pesawah lain, khususnya golongan muda, untuk menceburi bidang ini dengan lebih serius,” katanya ketika ditemui pada Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kubang Pasu, di sini semalam.

Sekitar taklimat penjagaan padi oleh Abang Chin.

Tambahnya lagi, komitmen dan usaha gigih Abang Chin selaras dengan matlamat MADA untuk memperkukuh keupayaan pesawah melalui amalan pertanian moden dan lestari.

Selain kejayaan dalam bidang pertanian, Abang Chin turut aktif membimbing generasi muda pesawah melalui kursus dan sesi perkongsian pengalaman bagi memperkasa kemahiran mereka.

Usaha berkenaan secara langsung menyokong aspirasi kerajaan dalam melahirkan lebih ramai pesawah profesional yang berilmu dan berdaya saing.

Pengiktirafan terhadap Abang Chin bukan sahaja mencerminkan keupayaannya sebagai pesawah moden, tetapi juga simbol kejayaan warga tani dalam membantu merealisasikan sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras negara melalui amalan pertanian yang inovatif, berdaya tahan dan berwawasan.

-RI

Tinggalkan komen anda